PBTSELANGOR

Bulatan 100 imej terbaru Bandar Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 10 JULAI: Bulatan 100 yang juga bulatan tersibuk di Bandar Klang kini berubah wajah selepas dinaik taraf landskapnya, sekali gus menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negara.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, bulatan yang menjadi kawasan angkat oleh Pusat Pemborong GM Klang, pada Disember 2017, kini siap sepenuhnya, pada April lalu.

Katanya, projek yang menelan kos RM500,000 itu mengetengahkan konsep kehijauan dan menggunakan bunga rasmi Klang, iaitu Ruellia Brittoniana sebagai simbolik bandar berkenaan.

“Keindahan landskap ini turut menarik perhatian, terutama pada waktu malam. Kerjasama ini dibuat bagi mengelakkan kawasan sunyi di sini yang satu ketika dulu menjadi tempat menampal iklan haram dan tempat lepak.

“Dengan pengindahan ini, ia menjadi lebih menarik perhatian. Ini sebagai permulaan dan kita mahu syarikat korporat lain juga mengambil inisiatif seperti GM Klang.

“Buat masa ini, 99 Speedmart juga mengikuti jejak langkah dengan mengambil Bulatan Barkeley sebagai kawasan angkat,” katanya ketika merasmikan Bulatan 100, di sini.

Mohamad Yasid berkata, Bulatan 100 kini diserahkan kepada GM Klang dalam tempoh 10 tahun dan kos penyelengaraan kira-kira RM30,000 setahun akan ditanggung sepenuhnya syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pusat Pemborong GM Klang, Dato’ Lim Seng Kok berkata, pihaknya berbesar hati mengambil kawasan berkenaan sebagai kawasan angkat menerusi program tanggungjawab sosial korporat dalam usaha mengindahkan lagi bandar terbabit.

“Terima kasih kepada MPK kerana memberikan kepercayaan dan kami yakin pengindahan bulatan ini selari dengan Bandar Klang yang kini salah satu destinasi pelancongan terkenal, sekali gus boleh menjadi imej terkini,” katanya.

Bulatan 100 antara bulatan tersibuk di Klang dan terletak berdekatan ruang sempadan Klang-Shah Alam.

Ia menghubungkan jalan utama dari Kuala Lumpur ke kawasan seperti Meru, Kapar dan Rantau Panjang.


Pengarang :