BERITA UTAMASELANGOR

Utamakan aspek keselamatan, elak kejadian tak diingini

 

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 31 MEI: Sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) optimis mengutamakan beberapa aspek keselamatan kepada pengguna jalan raya bagi menangani kejadian tidak diingini berlaku.

Pengerusi MKJR Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pihaknya memfokuskan empat teras utama dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang membabitkan semua kenderaan.

Antaranya ialah pengguna dinasihatkan untuk memeriksa tekanan tayar jika mempunyai tanda haus atau kerosakan yang luar biasa.

Katanya, mereka juga perlu mendapatkan khidmat pakar untuk memasang dan mengimbang tayar atau mengikut buku panduan kenderaan bagi memastikan stereng dan suspensi sentiasa dalam keadaan baik.

“Berdasarkan laporan dikeluarkan pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tiga negeri yang dikenal pasti mencatatkan kemalangan maut tertinggi adalah Selangor, Johor dan Perak.

“Jadi, kami harap semua dapat pulang dengan selamat dan langkah keselamatan dapat dipertingkatkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di GM Klang Wholesale City, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Pengiklanan dan Promosi GM Klang Wholesale City; Norsuhaida Othman, Ahli Mesyuarat Tetap MKJR Selangor; Hashim Anang.

Pada masa sama, Zainal berkata, pengguna perlu mengatur jadual perjalanan agar tidak pulang ke kampung dalam keadaan tertekan dan terburu-buru bagi mengelakkan ‘microsleep’.

“Semoga tips ini dapat membantu kita bagi memastikan tahap kesediaan kenderaan berada dalam keadaan yang optimum,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 347 kes kemalangan maut dilaporkan di Kajang manakala 270 di Klang Selatan dan 260 di Kuala Selangor bagi tempoh 2015 sehingga 2017.


Pengarang :