AGENSISELANGOR

Tourism Selangor sertai CAEXPO 2019 di China

SHAH ALAM, 21 SEPT: Tourism Selangor membuka gerai pameran Pavilion – City of Charm di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2019, Nanning, China, hari ini.

Tourism Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, pameran empat hari yang berakhir pada 24 September itu memfokuskan kepada usaha mempromosikan produk pelancongan negeri kepada pelancong di seluruh dunia terutama di pasaran China.

“Pameran seperti CAEXPO 2019 menyediakan lebih banyak peluang dan pendedahan kepada produk pelancongan dan tarikan yang ada di Selangor.

“Malah, penyertaan Tourism Selangor di CAEXPO 2019 sebagai salah satu pendekatan untuk meningkatkan pelancong antarabangsa yang rata-ratanya dari pasaran pelancongan China dan ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Tourism Selangor juga berhasrat mahu memanfaatkan pelancongan sukan ekstrem dan perjalanan berorientasikan keluarga bagi memenuhi trend pasaran serta pengembaraan budaya untuk pelancong ASEAN dan China.

“Justeru, perwakilan kita untuk CAEXPO 2019 bersedia melaksanakan sesi Perniagaan ke Perniagaan (B2B) dan Perniagaan ke Pengguna (B2C) untuk rangkaian dan promosi produk terbaik di Selangor.

“Lembaga Pelancongan turut menegaskan mahu mengukuhkan kedudukan Selangor di pasaran ASEAN serta meneruskan kadar positif dalam menarik jumlah ketibaan pelancong dari China ke negeri ini,” katanya.

Katanya, suku pertama tahun ini mencatatkan kenaikan 8.80 peratus yang ketara berbanding tahun lalu dengan hampir 842,000 pelancong China ke Selangor.

“Angka ini dijangka terus berkembang terutamanya dengan penyertaan aktif Tourism Selangor dalam konvensyen dan pameran pelancongan global seperti CAEXPO 2019,” katanya.

Terdahulu, turut sama menyertai delegasi adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking dan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Tradisi dan Warisan Melayu, Datuk Abdul Rashid Asari.

Melalui ekspo itu, Tourism Selangor turut memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan baharu serta sedia ada yang wujud di Selangor terutama daripada segi budaya, warisan, pelancongan runcit juga rekreasi.

Menariknya, Pavilion – City of Charm turut disertai pengendali pelancongan terkemuka di Selangor antaranya Air Asia, Gamuda GM Klang Sdn Bhd, Skymirror Tour & Travel Sdn Bhd, dan Sunflower Holidays Sdn Bhd.

Selain itu, tidak ketinggalan penyertaan daripada Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Sepang bagi menyahut seruan Tahun Melawat Malaysia 2020.


Pengarang :