Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sabah Phoong Jin Zhe (tiga, kanan) bersama Pengarah Urusan GM Klang Datuk Lim Seng Kok (empat, kanan) melakukan lawatan di Authentic Sabah Mart selepas majlis perasmian pasar berkenaan di GM Klang hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

GM Klang pelawa kerjasama agensi kerajaan promosi produk PKS negeri

KLANG, 10 MAC: GM Klang mempelawa agensi kerajaan di seluruh negara bekerjasama dengan pihaknya bagi memperkenalkan produk tempatan keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mereka.

Pengarah Urusannya Dato’ Lim Seng Kok berkata pusat borong itu sentiasa membuka ruang kerjasama dengan agensi kerajaan dalam menyediakan platform hubungan perdagangan serantau.

“Sebagai contoh kejayaan usahasama bersama Persatuan Alat Mainan Indonesia (AMI) yang ditempatkan di Pavilion Indonesia di sini boleh dijadikan penanda aras.

“GM Klang menitikberatkan promosi produk tempatan sebagai langkah mempergiat lebih banyak pertukaran produk dagangan. Selain Sabah, antara negeri yang memasarkan produk mereka di sini adalah Melaka dan beberapa negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Authentic Sabah Mart GM Klang yang disempurnakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe hari ini.

Seng Kok berkata sesuai dengan matlamat ‘pusat borong GM Klang adalah untuk semua PKS di Malaysia’ pihaknya akan terus mengekalkan GM Klang sebagai pilihan pengimport asing.

“Pusat borong ini adalah salah satu pintu masuk untuk menarik lebih banyak pengimport asing yang berada di Malaysia mendapatkan sumber produk yang menarik dan berpotensi di ASEAN,” katanya.

 


Pengarang :