Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Pengiklanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nur Aziezah Ayub Khan dan Mohamad Hairie Yaacob menunjukkan produk jualan mereka pada program Jualan Amal Istimewa sempena Kempen Riooh Raya GM Klang 2023 di GM Klang, Klang pada 7 April 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan amal beri pelajar UiTM pendedahan, mahirkan diri berdepan pelanggan

OLEH DIANA ABD WAHAB

KLANG, 8 APRIL: Jualan Amal Istimewa sempena kempen Riooh Raya GM Klang 2023 dilihat pendedahan terbaik kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengaplikasikan teori yang dipelajari di kelas sebelum menceburi dunia pekerjaan.

Pensyarah Kanan Pengiklanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Dr Shifa Faizal berkata program kerjasama dengan GM Klang itu memberi peluang kepada 40 pelajar pelbagai jurusan dari fakulti itu mempelajari kemahiran interpersonal menerusi interaksi dengan pelanggan.

“Ini peluang terbaik persiapkan pelajar dengan dunia pekerjaan sebelum mereka jalani latihan industri pada semester depan. Penglibatan seperti ini memang ditekankan kerana tidak mahu mereka sekadar duduk di fakulti dan baca buku sahaja.

“Menerusi jualan amal yang juga sebahagian program tanggungjawab sosial korporat ini juga memberi peluang pelajar menyumbang bakti kepada masyarakat,” katanya ditemui pada pelancaran jualan amal istimewa sempena kempen Rioooh Raya GM Klang 2023 di sini semalam.

Pensyarah Kanan Pengiklanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Shifa Faizal. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Jelasnya, program itu antara pengisian rohani dilaksanakan fakulti itu untuk pelajarnya ketika Ramadan.

“Kita rasakan pelajaran tanpa adab dan akhlak yang mulia adalah pembaziran jika ia tidak diaplikasikan dalam hidup.

“Kita fokuskan bukan hanya ilmu di dunia namun ilmu akhirat bagi melahirkan pelajar cemerlang dan bersahsiah mulia,” katanya.

Sementara itu, rata-rata pelajar menganggap peluang menguruskan gerai pada program jualan amal itu pengalaman berharga yang tidak dapat diperoleh di dalam kelas.

Bagi Nur Aziezah Ayub Khan, 22, pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Pengiklanan) berkata cara berkomunikasi yang dipelajari dapat dipraktikkan dan pengalaman diperoleh boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian terutama apabila memasuki dunia pekerjaan kelak.

“Saya belajar banyak perkara baharu contohnya cara yakinkan pengunjung beli kuih raya yang dijual. Tak sangka dalam masa tiga jam sejak gerai dibuka 10 pagi berjaya jual 200 bekas kuih raya,” katanya.

Sementara Mohamad Hairie Yaacob, 22, yang juga pelajar dalam jurusan sama berkata pengalaman menguruskan gerai pada jualan amal itu membantu dirinya membuat persiapan menjalani latihan industri.

“Secara tidak langsung saya belajar pikul tanggungjawab sebagai pekerja dalam urusan jual beli selain banyak mengajar berhubung dengan pelanggan yang tidak akan dapat diperoleh dengan baca buku atau semasa dalam kelas,” katanya.

Nur Hadhirah Halim, 21, pelajar jurusan penyiaran berkata pengalaman menyertai program itu menyeronokkan kerana menambah keyakinan diri terutama berkomunikasi dan berjaya menjual barang kepada pelanggan.

“Pada mulanya memang takut-takut tetapi keyakinan diri mula timbul bila kami diminta promosikan barang dijual menerusi pembesar suara. Ia memberi peluang saya menyumbang kepada masyarakat kerana sebahagian hasil jualan akan didermakan kepada rumah kebajikan,” katanya.


Pengarang :