Selangorkini
NASIONAL

Ahli KPF Tuntut Mesyuarat Agung Khas Tolak FGVH

SHAH ALAM, 16 FEB: Ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda (M) Berhad (KPF) hari ini menuntut agar satu Mesyuarat Agung Khas koperasi tersebut diadakan bagi membincangkan beberapa isu yang menyentuh penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) dalam pasaran saham terbuka.

Antara lain menuntut KPF tidak dikaitkan dengan penyenaraian FGVH.

Selain itu mereka turut menuntut agar KPF dilarang sama sekali melupuskan ekuiti milik KPF di dalam Felda Holdings Berhad (FBH) dan sepuluh anak syarikat milik FHB.

“Bahawa KPF tidak dikaitkan dengan penyenaraian FGVH dalam apa cara sekalipun.

“Bahawa KPF dilarang sama sekali melupuskan ekuiti milik KPF di dalam FHB dan sepuluh anak-anak syarikat milik FHB kepada FGVH atau kepada mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB atau FGVH,” menurut surat yang salinannya telah dihantar ke meja berita TVS hari ini.

Ahli-ahli koperasi terbabit yang merupakan peneroka tanah rancangan felda dari beberapa felda seluruh negara itu juga mahukan KPF dalam mesyuarat itu nanti agar melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan KPF dan 10 anak syarikatnya oleh mana-mana pihak termasuk pihak dari FHB dan FGVH.

“Bahawa KPF melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti milik KPF dalam FHB dan 10 anak-anak syarikat FHB oleh mana-mana pihak termasuk FHB atau FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB,” menurut kandungan surat itu lagi.

Turut disertakan dalam surat tersebut nama-nama dan tandatangan 120 orang ahli dan juga perwakilan KPF dari beberapa felda seluruh negara.

 


Pengarang :