Air Ke Pandan Utama Fasa Dua Disambung Kembali | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Air Ke Pandan Utama Fasa Dua Disambung Kembali

SHAH ALAM 23 FEB : Nasib 600 pengguna di Taman Perumahan Pandan Utama Fasa Dua terbela apabila Kerajaan Negeri berjaya berunding dengan  Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan pemaju perumahan itu untuk menyambung kembali bekalan air setelah terjejas sejak lebih seminggu lalu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan dengan pihak Syabas dan wakil pemaju taman perumahan tersebut di pejabat Syabas di Kuala Lumpur semalam.

“Syabas memulakan kerja-kerja penyambungan bekalan air hari ini setelah pemaju menghantar surat aku janji kepada Syabas semalam yang menyatakan mereka akan mengemukakan “Bank Guarantee” bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.


“Bank Guarantee” ini adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan,”katanya.

Sebelum ini, Syabas memotong bekalan air di taman perumahan tersebut kerana penduduk memperoleh bekalan secara tidak sah sejak 2010 menerusi sambungan haram daripada paip sedia ada milik Syabas di Jalan Cempaka.

Penduduk berbuat demikian kerana mendakwa pemaju tidak membekalkan meter air semasa mereka mula mendiami rumah tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som sebagai berkata, tindakan mengambil air secara tidak sah adalah menyalahi undang-undang Akta Industri Perkhidmatan Air, Seksyen 123 (1).

Hasil mesyuarat sebelum ini, pihak pemaju diminta untuk menjelaskan bayaran kepada Syabas bagi penggunaan air secara tidak sah selama 17 bulan.

Abdul Halem berkata, kemudahan infrastruktur bekalan air kekal seperti tangki air, rumah pam dan tangki sedut luaran perlu disediakan oleh pemaju terlebih dahulu supaya pihak Syabas boleh membekalkan air ke perumahan berkenaan.

Mengulas lanjut perkara ini, Iskandar berharap pemaju akan dapat mengotakan janji mereka untuk menyediakan kemudahan isnfratruktur tersebut bagi membolehkan pihak Syabas menyambung bekalan secepat mungkin  agar penderitaan penduduk akan berakhir.

“Walau bagaimanapun adalah wajar pihak Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera di atas sebab-sebab kemanusian memandangkan persetujuan telah dicapai dan menunggu untuk dilaksanakan.

“Buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan terdapat kemungkinan akan berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti ini berlarutan.”

 

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION