Pelbagai

ANAK : Mesyuarat Khas Koperasi Permodalan Felda Dikhuatiri Banyak Sogokan

SHAH ALAM, 11 FEB : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) akan mengemukakan injuksi ke Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mengadakan mesyuarat Agung Perwakilan Khas pada 22 Februari ini.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya akan mengemukakan injuksi itu pada 17 Februari ini melalui peguam panel ANAK, Haris Abdullah kerana dipercayai terdapat unsur penyelewengan atau rasuah di dalam mesyuarat agung khas (EGM) KPF itu.

Katanya, pihaknya juga mendapat maklumat yang EGM dirancang KPF itu melibatkan sejumlah bajet yang tinggi dipercayai bagi mempengaruhi perwakilan supaya menjayakan agenda mereka menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Beliau menambah, Anak juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dan pemantauan dapat dilakukan pihak berkuasa tersebut.

“Kita akan minta SPRM untuk memantau sebelum dan semasa perjalanan mesyuarat agung ini. Saya difahamkan bahawa kos untuk mengadakan mesyuarat agung ini adalah dipercayai mencecah RM1 juta pada 22 Februari ini. Saya tidak pasti untuk apa kos sebegitu besar,” Mazlan berkata di satu sidang media di sini.

Beliau berkata, difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri akan merasmikan mesyuarat agung khas ini.

“Kebimbangan kita ialah akan wujud sogokan-sogokan dilakukan terhadap perwakilan-perwakilan bermula daripada perwakilan yang datang dari seluruh negara.

Saya fikir mungkin meliputi belanja mereka untuk datang, penginapan mereka dan layanan yang akan dibuat kepada perwakilan ini yang saya percaya ada kaitan supaya perwakilan memberi sokongan terhadap usul-usul di dalam mesyuarat agung ini.

Kalau ini berlaku maknanya satu unsur rasuah bagi membolehkan kehendak dan agenda mereka untuk tujuan penyenaraian Felda Global Ventures ini akan berlaku,” katanya kepada pihak media di sini.”

Berdasarkan itu, Mazlan berkata, mesyuarat itu perlu dihalang daripada diadakan sepertimana mesyuarat agung sebelumnya yang tidak dapat dijalankan pada 5 Januari lalu apabila ANAK mengemukakan injuksi.

 


Pengarang :