Selangorkini
NASIONAL

Anwar Akan Sertai Himpunan Hijau 2.0 Di Kuantan

SHAH ALAM, 24 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta memberi sokongan penuh kepada Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan pada 26 Februari 2012 ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya menggesa seluruh pimpinan PKR serta seluruh pimpinan parti disemua peringkat untuk turut serta dalam himpunan tersebut.

Sebelum ini Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan masyarakat setempat telah bersama-sama menentang projek radiaoktif Lynas di Gebeng, Pahang.

Malah, Temurapat Pimpinan PKR pada 24-26 Februari ini yang pada awalnya dijadualkan di Lumut, Perak telah dipindahkan ke Kuantan, Pahang bagi membolehkan semua pimpinan parti diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0.

“Saya juga telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota KEADILAN di Pahang khususnya dan di seluruh Malaysia umumnya untuk turut sama menyokong Himpunan Hijau 2.0 dan kempen Hentikan Lynas.” kata Saifuddin

Dua hari lalu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga membuat gesaan yang sama terhadap PAS supaya semua ahli PAS Pahang serta negeri-negeri berhampiran menyertai himpunan tersebut.

Himpunan Hijau 2.0 pada Ahad ini dijangkakan akan dihadiri lebih 100,000 orang bagi membantah projek radioaktif Lynas tersebut.

 


Pengarang :