Selangorkini
NASIONAL

Anwar :Suruhanjaya Diraja Siasat Pendatang Asing

PETALING JAYA 13 FEB : Kerajaan Pusat sewajarnya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja dalam kadar segera bagi menyiasat isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diberikan hak kewarganegaraan.

Gesaan itu dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran khuatir dengan peningkatan pengundi dari kalangan pendatang asing yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Ini bukan isu Sabah (projek ic), sebaliknya ini adalah isu negara keseluruhannya,”katanya dalam satu sidang media di Ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Baru-baru ini Perdana Menteri Bangladesh, Sheik Hasina Wajed membuat kenyataan mengejutkan apabila mendakwa rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia diberi kerakyatan mudah jika mengundi Umno-BN.

Kenyataan itu dipetik dari www.ngoab.gov.bd iaitu laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Bagaimanapun pendedahan itu dipadamkan selepas 24 jam ia disiarkan.

Skandal pemberian kad pengenalan atas dasar kepentingan politik pemerintah ini bukan pertama kali dibangkitkan oleh pembangkang dan media.

Sebelum ini, skandal yang sama berlaku di Sabah sejak tahun 1980 an dan 1990 an ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Satu kajian melaporkan sehingga 2005, seramai 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di Sabah bertujuan untuk memenangkan Umno-BN dalam pilihanraya.

“Kerajaan perlu memandang serius gesaan tersebut dan bukannya menjadikan ia sebagai suatu agenda politik sempit, kerana masalah ini adalah masalah yang melibatkan kepentingan seluruh negara.

“Oleh yang demikian status kewarganegaraan pendatang asing ini harus disahkan sama ada mereka layak atau tidak mengundi sebelum pilihanraya umum akan datang,”jelasnya.

Anwar menambah, pihaknya tidak membangkitkan soal pendatang asing yang memenuhi syarat menerima taraf kewarganegaraan.


Pengarang :