Selangorkini
NASIONAL

Dasar Luar Negara Malaysia Berkiblat Amerika-Israel

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak konsisten dalam dasar luarnya terhadap Palestin kerana masih ‘tunduk’ kepada dasar Amerika Syarikat dan Israel.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR),Saifuddin Nasution, berkata Malaysia pada Mei 2006 yang menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) telah membelakangkan kehadiran Dr Mahmoud AlZahar sebagai Menteri Luar sah kerajaan Palestin dan sebaliknya mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu Bekas Menteri Luar Palestin (sewaktu kerajaan Fatah sebelum Pilihanraya 25 Januari 2006).

Pada persidangan tersebut Farouk Qadummi dijemput berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin.

“Hal ini tidak sukar difahami kerana Perdana Menteri, Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili HAMAS yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas.

“Hakikat bahawa HAMAS menang pilihanraya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap HAMAS yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah.

“Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Adalah menjadi pengetahuan umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan FATAH yang tewas pilihanraya,” kata Saifuddin dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang membidas Datuk Seri Anwar sebagai bersikap dua wajah (two-faced) dan menegaskan kononnya Malaysia sentiasa memberi sokongan secara konsisten terhadap perjuangan Palestin.
Menurut Saifuddin, Dr Mahmoud AlZahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudiannya memulau persidangan NAM tersebut. Beliau menemui pimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden ketika itu Ustaz Nasaruddin Mat Isa.

Dr Zahar turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau. Malahan Ustaz Nasaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai ‘biadap’

“Insiden tersebut memberikan bukti jelas bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin. Insiden ini menjadi bukti bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin,” ujarnya.

Tambah Saifuddin,insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihanraya.

“Hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS pada ketika itu maka Malaysia juga akur. Bukankah fakta ini dengan sendirinya menolak kenyataan PM Najib sebaliknya mengesahkan bahawa dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin sebenarnya tidak konsisten,” katanya.

 


Pengarang :