Selangorkini
NASIONAL

Dr Badrulamin: Dimana Ada Umno Di Situ Ada Fitnah

SHAH ALAM, 22 FEB : Umno dan fitnah sememangnya tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu, menurut Pengarah Penerangan Pejabat Menteri Besar Selangor, Dr. Badrulamin Bahron.

Menurut Badrulamin, sejak kes Fitnah Liwat 1998, media Umno/BN sudah mula memainkan peranan menabur fitnah terhadap pimpinan parti-parti pembangkang.

“Permainan Umno sekarang ini adalah menggunakan media untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat.

“Soal betul atau tidak itu tidak penting bagi mereka tetapi rakyat harus percaya dengan cerita yang dibawa media mereka,” jelas Badrulamin.

Beliau turut membidas tindakan Umno/BN yang tidak berpuas hati dengan isu penyelewengan pasir di Selangor yang kononnya melibatkan dua orang Adun negeri ini.

“Kes pasir itu terang-terangan isu fitnah kerana kes ini sudah di bawa ke Peguam Negara namun kes itu sudah digugurkan dan tiada sebarang tindakan atau siasatan lanjutan diarahkan.

“Tetapi Umno masih ingin memainkan isu ini melalui media mereka kerana itulah sahaja senjata yang mereka ada,” tegas Badrulamin.

Sehubungan itu, Badrulamin menyeru rakyat untuk lebih celek dengan permainan media Umno/BN.

“Bijaksanalah dalam membaca, mendengar atau menonton media BN kerana media inilah saluran mereka untuk menabur fitnah, mengadu domba serta saluran menghina pimpinan pakatan.

“Umno dan fitnah merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, di mana ada Umno, di situ ada fitnah. Bukan sahaja fitnah tetapi juga budaya rasuah, gangster, zalim dan sebagainya,” akhiri Badrulamin.


Pengarang :