NASIONAL SELANGOR

Dr Dzulkifly: Malaysia Gadai Maruah Demi Amerika-Israel

SHAH ALAM, 21 FEB: Tindakan Kerajaan Umno-BN menghentikan eksport minyak sawit ke Iran akibat tekanan dari Amerika dan tiga dari empat negara Kesatuan Eropah (EU) meletakkan negara ini dianggap sebagai negara tunggangan kuasa besar.

Selain itu tindakan tersebut turut memberi gambaran bahawa negara ini tunduk kepada kemahuan Israel yang mahu memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.

Demikian komen Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan PAS Dr. Dzulkefly Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor.

“Kita patut contohi Turki yang tidak endahkan tekanan dari negara kuasa besar walaupun mereka amat mahu menjadi ahli dalam EU.

“Turki juga tidak ragu-ragu untuk memutuskan hubungan pertahanan dan dagangan dengan Israel dan menghalau keluar duta dan diplomat Israel dari terus berada di Turki beberapa bulan lalu,” kata beliau.

Beliau juga melihat kerajaan BN sanggup menggadai marauh sebagai sebuah negara Islam serta gagal mengamalkan semangat persaudaraan sesama Islam apabila turut mengambil pendirian memberi tekanan terhadap Iran.

“Sebaliknya Malaysia sebagai sebuah negara Islam gagal menunjukan semangat persaudaraan sesama islam apabila tunduk kepada kemahuan barat.

“Tidak membantu saudara Islam di Iran yang sedang ditekan oleh kuasa-kuasa besar,” beritahu beliau kepada TVS ketika dihubungi hari ini.

“Mengapa selain Turki, India dan China sebagai negara berdaulat juga mempertahankan pendirian mereka apabila meneruskan hubungan dagangan mereka dengan Iran, tetapi Malaysia pula menghentikan pengeksportan ke Iran.

Beliau turut membidas Kerajaan BN yang dianggap berlidah bercabang berhubung isu berkaitan Israel.

“Mereka tuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sokong Israel, tetapi pada masa yang sama kerajaan Umno-BN sendiri jalin hubungan dagangan secara terus dengan Israel.

“Akhirnya keuntungan dari hasil cukai yang dibayar oleh syarikat Malaysia kepada kerajaan Israel mereka beli senjata untuk bunuh umat Islam di negara lain,” ujar beliau lagi.

 

 


Pengarang :