Selangorkini
NASIONAL

Hadi Akan Bertanding Pada Pilihanraya Akan Datang

KUALA LUMPUR 4 Feb: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah bersetuju untuk bertanding pada pilihanraya umum akan datang sebagai menghormati kehendak pimpinan tertinggi parti itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2 Februari di Pejabat Agung PAS telah mengambil keputusan untuk menolak hasrat Hadi untuk mengundur diri dan tidak bertanding pada pilihanraya akan datang.

“Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut. Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke-13,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Hadi, yang juga MP Marang, melahirkan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihanraya akan datang.

Sejurus selepas pengumuman tersebut, beberapa pemimpin PAS dan parti komponen Pakatan Rakyat meminta Hadi menarik balik keputusan beliau, kerana khidmat dan pengalamannya masih diperlukan di dalam politik tanah air.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Hadi untuk terus memimpin.

PAS, katanya bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat.

“Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti,”jelasnya.


Pengarang :