Selangorkini
NASIONAL

Idris Ahmad: Provokasi Kepala Babi Petanda PRU13 Makin Dekat

SHAH ALAM 2 FEB : Pelbagai provokasi dan amalan fitnah yang dicetuskan golongan berkepentingan serta media arus perdana yang cuba mencetuskan ketegangan kaum menjadi penanda PRU13 semakin hampir.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, melahirkan kekesalan berhubung insiden meletakkan kepala babi yang berlaku di Masjid Al-Hidayah Sentul seperti yang dilaporkan hari ini.

Dalam reaksinya kepada TVSelangor berkata, kejadian ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan kejadian ini merupakan kes kedua dalam tempoh seminggu.

Awal minggu ini menyaksikan satu kepala babi ditemui di sebuah masjid di Rawang oleh ahli jawatankuasa masjid sebelum solat subuh.

Justeru, beliau meminta pihak polis bertindak tegas bagi mencari pihak yang bertanggungjawab memandangkan perkara ini dilihat sebagai satu bentuk provokasi sentimen keagamaan menjelang Pilihanraya ke-13 (PRU-13).

“Jika perkara ini berlaku dalam era tahun 60an, sudah pastinya perkara yang tidak diingini akan berlaku di negara ini,” katanya.

Selain itu sentimen perkauman bukan sahaja melibatkan usaha provokasi keagamaan seperti isu kepala babi dan kepala lembu turut melibatkan kenyataaan pemimpin-pemimpin Umno dan NGO (Perkasa) yang bersifat perkauman.

Media milik Umno juga hampir setiap hari cuba mencetuskan suasana tidak harmoni dengan meniup api perkauman dan pelbagai bentuk fitnah.

Keadaaan ini dianggap sebagai disengajakan oleh pihak tertentu bertujuan meraih sokongan kaum tertentu setelah merasakan tiada jalan lain untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Beliau menambah, perkara sebegini merupakan ‘bunga-bunga PRU-13’ yang bakal berlangsung bila-bila masa.

Insiden meletakkan kepala babi ini tercetus selepas Pakatan Rakyat berjaya menawan beberapa buah negeri selepas PRU-12 bermula di Petaling Jaya yang melibatkan dua buah masjid diikuti kejadian sama yang berlaku di Johor.

Selain itu, insiden provokasi bermotifkan sentimen keagamaan ini turut belaku melibatkan kejadian kebakaran gereja di Taman Melawati dan simbahan cat merah di sebuah surau di Seremban.

Merujuk kepada kejadian sebelum ini, sehingga kini belum ada sebarang tangkapan yang dilakukan.


Pengarang :