Selangorkini
SELANGOR

Isu Air Di Taman Pandan selesai

SHAH ALAM, 24 FEB : Isu pemotongan air di Taman Pandan Utama 2, Ampang selesai hasil rundingan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bersama pihak pemaju dan juga pihak Syabas pada Rabu lepas.

Menurut Iskandar, pihak Syabas bersetuju untuk menyambung bekalan air setelah pemaju menyerahkan surat akujanji yang mengatakan mereka akan mengemukakan “Bank Guarantee” bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.

“‘Bank Guarantee’ ini adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan.

“Pada 20 Februari lepas, pemaju telah mengemukakan surat akujanji bahawa mereka akan menyiapkan kerja itu dalam masa yang ditetapkan itu,” jelas Iskandar yang juga Adun Cempaka.

Isnin lalu, satu dialog antara penduduk bersama beliau,  Syabas dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah diadakan.

“Saya berharap pihak Syabas akan menyambung bekalan secepat mungkin selepas menerima surat akujanji daripada pihak pemaju agar penderitaan penduduk akan berakhir.

“Buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan dikhuatiri berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti ini berlarutan,” ulas Iskandar


Pengarang :