Izzah : Kembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Izzah : Kembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan

SHAH ALAM, 1 FEB : Sistem pilihanraya kerajaan tempatan perlu dikembalikan semula untuk memberi peluang dan hak kepada warga kota memilih pemimpin untuk menerajui dan menentukan masa hadapan kerajaan tempatan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata sejak tahun 1965, pilihan raya ahli-ahli majlis tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang pada 1961 diwujudkan sebagai Suruhanjaya Ibu Kota tidak lagi dijalankan.

“Sudah pasti pada mulanya wujud sebab-musabab yang munasabah kenapa langkah ini diambil, tetapi masanya telah tiba ,setelah 47 tahun berlalu, untuk dikembalikan hak rakyat untuk membuat pilihan semula.


“Kita cuma perlu lihat belanjawan 2012 DBKL yang berjumlah RM2.3 bilion , ia bersamaan dengan jumlah belanjawan 2012 Kerajaan-kerajaan Negeri Selangor (RM1.6 bilion) dan Pulau Pinang (RM740 juta) , Adakah jumlah ini benar-benar diguna dengan sebaik mungkin?,” kata Izzah dalam kenyataan media sempena Hari Wilayah yang diraikan pada 1 Februari.

Izzah juga berkata DBKL perlu memperjelas penggunaan wang rakyat dengan jumlah yang besar kepada pembayar cukai pintu untuk memastikan ia digunakan dengan yang paling berkesan dan cekap.

“Tanpa sistem pilihanraya kerajaan tempatan, kesemua soalan di atas hanya tinggal soalan. Masanya telah tiba untuk kita nikmati sebuah DBKL yang benar-benar bertanggungjawab kepada para pembayar cukai pintu, dan boleh diganti mereka yang enggan mendengar suara rakyat,” kata beliau.

Justeru menurut Izzah, masanya telah tiba untuk warga kota Kuala Lumpur didampingi seorang Datuk Bandar yang benar-benar dipilih sendiri oleh penduduknya, dan boleh diganti apabila mereka yang dilantik tidak berani untuk menyuarakan hati nurani rakyat.

“Masanya telah tiba untuk kita alami sebuah Kuala Lumpur yang lebih maju, yang lebih mesra, yang lebih baik .Selamat Hari Wilayah,” ujar Izzah.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mendesak kerajaan pusat dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar sistem kerajaan tempatan dikembalikan semula bagi memberikan hak demokrasi kepada penduduk membuat pilihan terbaik yang menjadi pembayar cukai.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION