Selangorkini
Pelbagai

Ketirisan Kerajaan Pusat Punca Jalan Di Selangor Berlubang

KUALA SELANGOR,4 FEB : Ketirisan dalam perbelajaan kerajaan pusat antara punca kerja penyelenggaraan jalan raya tidak sempurna sehingga masih berlaku kerosakkan jalan di tempat-tempat yang pernah dibaiki.

ADUN Bukit Melawati Mutthiah Maniapillay berkata peruntukan yang disalurkan kerajaan pusat tidak sampai terus ke sasaran lantaran menyebabkan pembaziran dan wujud unsur rasuah.

“Banyak tempat yang kerajaan pusat keluarkan tetapi tidak turun ke bawah seperti nilai projek berharga contohnya RM50 juta tetapi apabila sampai ke bawah hanya dapat RM10 juta,” kata Muthiah ketika diwawancara TVSelangor.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada 120 warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal di Daerah Kuala Selangor.

Tambah Muthiah lagi, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan sentiasa berusaha untuk membaiki jalan raya di Selangor walaupun peruntukan bagi kerja-kerja tersebut datang daripada Kerajaan Pusat.

“Menteri Besar sudah berkata beliau akan mendapatkan peruntukan daripada MARRIS untuk penyelenggaraan jalan di Selangor,” katanya.

Penggunaan peruntukan MARRIS oleh Kerajaan Selangor adalah berdasarkan peruntukan yang digariskan oleh Arahan Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri.

Pada majlis itu, sumbangan disampaikan oleh Isteri Menteri Besar Datin Seri Salbiah Tunut bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzullkefly Ahmad dan Muthiah.

Program yang dianjurkan bersama PEKAWANIS dan Pejabat DUN Melawati, DUN Jeram itu berlangsung di Dewan Sri Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di sini.

Majlis itu satu usaha membantu masyarakat berpendapatan rendah di Daerah Kuala Selangor agar mereka dapat meraikan Tahun Baru Cina pada dengan perasaan ceria dan gembira.

Program itu juga adalah untuk menghargai golongan warga emas yang telah banyak menyumbang bakti kepada pembangunan negara di samping usaha merapatkan semangat persaudaraan dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Semalam, lebih 400 penduduk Kampung Baru Ijok hadir untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar.

Dalam majlis itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan sumbangan berupa Angpow kepada lebih 100 warga emas sebagai menghargai jasa pengorbanan mereka.

Turut hadir dalam majlis sumbangan itu Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Kampung Baru Ijok, Lee Lai Seng dan wakil-wakil parti Pakatan Rakyat DUN Ijok dan kawasan Parlimen Kuala Selangor.


Pengarang :