Selangorkini
Pelbagai

Kg Tanjung Keramat Perlukan Jeti Konkrit

KUALA SELANGOR, 20 FEB : Golongan nelayan di Kampung Tanjung Keramat, Kuala Selangor berharap jeti konkrit dibina di kawasan itu bagi mengatasi masalah yang selama ini dihadapi mereka.

Selain itu, mereka juga meminta alur sungai didalamkan bagi memudahkan laluan bot untuk keluar ke laut dan masuk ke jeti.

Pengerusi Persatuan Nelayan Tanjung Keramat, Salim Hamzah (gambar), 46, berkata, masalah tersebut amat membebani mereka dan berharap ianya mendapat perhatian pihak berkuasa bagi mengatasinya.

Menurutnya, jeti di kawasan itu dibina sendiri oleh nelayan tetapi tidak tahan lama kerana dibuat daripada kayu yang mudah reput.

Katanya, masalah itu berlarutan sejak hampir 10 tahun lalu dan telah dikemukakan kepada persatuan nelayan di peringkat negeri tetapi masih tiada maklumbalas.

“Masalah utama di sini adalah jeti. Jeti yang kami buat dengan kayu pun dah reput dan tak tahan.

“Kami perlukan satu jeti baru, jeti batu konkrit sebab jeti kayu sekarang ini cepat reput bila kena air dan sebagainya. Lebih kurang sudah enam hingga tujuh tahun dibina. Kalau ada jeti batu maka lama lah boleh bertahan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, kerja membaikpulih jeti diusahakan sendiri oleh kumpulan nelayan di kampung itu dengan kos kira-kira RM500 hingga RM1,000 melibatkan pembelian kayu dan pertukangan dalam masa dua atau tiga kali setahun.

Tambahnya, bagi kemudahan nelayan keluar masuk dari kampung itu, pihaknya juga meminta alur sungai di situ didalamkan lagi.

“Masalahnya bila tak berapa dalam, bila kami balik dari laut, kami tidak boleh masuk ke dalam. Kena tunggu air jadi tinggi baru kami boleh masuk ke dalam hingga ke jeti.

“Masalah ini terutamanya bila air mati. Air tak berapa tinggi dan tidak melepasi alur sungai jadi kami kena tunggu air dalam. Kadang-kadang balik pukul 4 petang tapi hanya masuk jeti pukul 7 malam,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati, M Muthiah ketika diajukan perkara ini, menjelaskan pihaknya sedang berusaha bagi mengatasi masalah dihadapi nelayan di kawasan itu.

Beliau berkata, kawasan itu berpotensi untuk dimajukan menjadi sebuah kawasan pelancongan sebagai laluan masuk ke pulau berhampiran dan telah menyarankan kepada Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

“Bagaimanapun setakat ini saya belum menerima sebarang maklum balas mengenainya tetapi kita akan berusaha membantu melayan dan berharap masalah ini mampu diatasi segera,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, difahamkan Jabatan Perikanan Negeri telah membina jeti di Kampung Kuantan tetapi malangnya jeti tersebut yang siap kira-kira setahun lalu tidak digunakan.

“Jeti di Kampung Kuantan itu dibina tetapi tidak digunakan. Bila diajukan mengenai masalah jeti di Kampung Tanjung Keramat, pihak jabatan kata bukan tanggungjawab mereka.

“Dalam hal ini bagi saya jeti di Kampung Tanjung Keramat perlu dibaiki segera demi membela kehidupan nelayan di sana,” katanya.

 


Pengarang :