Selangorkini
SELANGOR

Mangsa Ribut Di Bukit Subang Gembira Dapat Bantuan

SUBANG, 10 FEB : Penduduk Pangsapuri Teratai di Bukit Subang yang menjadi mangsa kejadian ribut pada 7 Februari lepas menyatakan rasa syukur dan gembira apabila kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM480,000 bagi membaik pulih bumbung pangsapuri yang rosak itu dan juga bantuan kecemasan segera.

Tinjauan TV Selangor semasa pemberian bantuan kecemasan itu disambut dengan penuh kesyukuran oleh penduduk tempatan.

Bantuan disampaikan oleh Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Menurut penduduk, Raden Haji Ahmad Qurtubi Masduki,64, berkata beliau amat menghargai dengan pemberian yang disumbangkan oleh kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa yang bertungkus lumus memberikan pelbagai bantuan sejak mereka dipindahkan ke Dewan Raflesia itu sebagai tempat pemindahan sementara.

” Terima kasih diucapkan kepada mana-mana pihak telah memberikan perhatian terhadap apa yang terjadi ke atas diri kami,pihak kami penduduk yang terlibat mengucapkan jutaan terima kasih yang sudi menghulurkan derma secara spontan dan juga pihak yang berkaitan yang memberikan peralatan untuk tidur dan sebagainya,moga-moga apa yang disumbangkan oleh mereka diberkati Allah,” katanya.

Menurut Qurtubi kejadian tersebut yang kali pertama berlaku sejak beliau tinggal di kawasan itu berharap agar penduduk di situ dapat sabar dan menginsafi kejadian itu dengan mengambil iktibar.

” Moga-moga apa yang kami lakukan tanpa disedari atau disedari akan diampunkan oleh Allah, dan semoga kejadian ribut itu tidak akan berulang lagi,sebagai penduduk yang menerima musibah amat-amat mengambil perhatian di atas apa jua yang berlaku,moga-moga kejadian ini menjadi satu iktibar kepada kami yang Allah telah berikan ujian kepada kita,” katanya.

Aman Jaya Abdul Aziz,40, berkata sumbangan yang diberikan kerajaan negeri akan meringankan sedikit kesukaran yang dihadapi ekoran kejadian ribut itu yang merosakkan rumah serta peralatan rumahnya.

“Semasa kejadian ribut itu berlaku air yang mencurah-curah masuk menyebabkan habis baju dan pakaian basah, pemberian ini sekurang-kurangnya akan meringankan beban saya. Anggaran kerugian termasuk pakaian adalah dalam anggaran RM300.

“Semasa kejadian saya berada di berandar rumah, dan angin kuat bersama-sama abuk sekali yang disertai dengan daun-daun dan kayu-kayu masuk ke dalam rumah,” katanya.

Katanya beliau amat berpuas hati dengan segala bantuan dan keprihatinan kerajaan yang memberikan pertolongan segera kepada penduduk sejak hari kejadian serta di pusat pemindahan sementara itu.

“Terima kasih juga di atas keperihatian Pejabat DUN dan juga Unit-Unit Amal PAS yang menghulurkan bantuan,” katanya.

Azizi Abdul Hamid,38, beliau menyatakan sumbangan itu diharap meringankan beban yang dialaminya.

“Syukur Alhamdulillah dengan sumbangan kerajaan negeri ini, terima kasihlah di atas semua yang terlibat dalam memberikan sumbangan bantuan,” jelasnya.

Dalam majlis itu seramai 91 buah keluarga menerima sumbangan kecemasan yang diberikan terus bagi meringankan beban mangsa ribut.

Exco Selangor, Yaakob Safari berkata bantuan yang disalurkan itu adalah bantuan daripada program ceria kerajaan negeri untuk membantu rakyat di negeri ini dan sumbangan dari pejabat Adun serta daripada Lembaga Zakat Selangor.

” Untuk membantu mangsa ribut di sini,penduduk yang diberi bantuan kewangan sebanyak antara RM200 sehingga RM500 untuk
sekeluarga bergantung kepada jenis kerosakan, manakala untuk membaiki bumbung yang rosak kerajaan negeri memperuntukkan RM480,000,” kata Yaakob yang juga Adun Kota Anggerik semasa ditemui selepas pemberian bantuan kecemasan itu di Dewan Raflesia di sini.

Turut hadir sama dalam penyampaian sumbangan ini Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Penghulu Kanan Daerah Petaling Arzmi Mohd Atan.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan bersedia untuk membuat peruntukan bagi menolong penduduk membaiki atap pangsapuri yang ranap.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Blok Teratai dengan 13 rumah di tingkat atas yang tidak berbumbung serta penduduk di Pangsapuri Melur dan Pangsapuri Kiambang yang juga kehilangan atap akibat diterbangkan angin kuat.

Dalam kejadian tersebut, sembilan unit rumah di blok satu dan dua, pangsapuri itu mengalami rosak teruk apabila bumbung rumah cabut ditiup angin yang kuat. Manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu kerana kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.


Pengarang :