NASIONAL

MB : Istihar Harta Perlu Bersama Hapus OSA

SHAH ALAM 29 FEB : Kesediaan anggota kabinet Barisan Nasional mengistiharkan harta adalah lebih bermakna sekirannya hasrat itu disusuli dengan pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik perubahan yang dibawa oleh kerajaan dalam menjadi sebuah kerajaan yang lebih telus.

“Saya menyambut baik hasrat ini dan saya tidak semudah itu untuk menyekat penambahbaikan yang cuba dibawa oleh Umno-BN ini.

“Kami menyokong usaha ini, kerana ia ada sedikit ketelusan, dan ketulusan ini harus disusuli dengan perubahan undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA),”jelas Abdul Khalid.

Akta Rahsia Rasmi (OSA) digubal berasaskan Official Secret Acts dari British, namun penggunaan dan pelaksanaan akta ini masih menyekat kebebasan dan ketelusan secara mutlak.

Sehingga hari ini, kerajaan tidak pernah bercadang untuk memperjelaskan penggunaan dan pelaksanaan Akta Rahsia Rasmi.

Walaupun para pemimpin negara selalu mengatakan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, namun akta ini bagaimana pun telah disalahgunakan oleh mereka untuk menyekat pembongkaran sesuatu isu yang berkaitan dengan kepentingan negara dan sekaligus bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Semalam, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diberikan akses penuh keatas dokumen pengisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan, termasuk menteri dan keluarga mereka.

Keputusan itu selaras dengan cadangan Lembaga Penasihat SPRM bulan lalu supaya dokumen pengisytiharan harta menteri dan timbalan menteri serta keluarga turut diserahkan kepada SPRM bagi meningkatkan ketelusan.

Buat masa ini maklumat berhubung harta anggota kabinet dan menteri di simpan oleh Perdana Menteri.

Senario ini berbeza dengan amalan kerajaan Pakatan Rakyat yang mengistiharkan segala hartanya kepada pengetahuan umum.

“Sekiranya akta ini diubah, Akta Kebebasan Maklumat boleh berperanan untuk pengetahuan semua orang, bagaimana pun ia adalah permulaan yang bagus dan saya tidak mahu terlalu bersikap menyekat,” tambah Abdul Khalid dalam pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.


Pengarang :