Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MB : SPRM Perlu Siasat Isu Pasir Sebelum 2008

SHAH ALAM 27 FEB :Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penyiasatan terhadap dakwaan kegiatan curi pasir yang dilaporkan berlaku di Rawang, Kuala Langat dan Semenyih.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri juga telah meminta Pejabat Tanah dan Daerah yang terlibat supaya memberi kerjasama kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan sekiranya perlu.

“Kita berharap penyiasatan SPRM ini akan membantu Kerajaan Negeri membanteras kegiatan curi pasir yang telah berlaku sebelum 2008 yang merugikan negeri dan rakyat Selangor,” jelas Khalid dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor hari ini.

Beliau berkata, sindiket curi pasir perlu ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal kerana mencuri hasil negeri yang sepatutnya dinikmati oleh semua rakyat Selangor menerusi program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sebagai rekod keuntungan kerajaan Selangor dari kegiatan perlombongan pasir meningkat selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentabiran dari Umno-BN daripada RM2.9 juta pada tahun 2007 ke RM6.3 juta pada tahun 2008.

Hasil kutipan pada tahun 2009 berjumlah sebanyak RM5.4 juta sebelum meningkat kepada RM10.3 juta pada enam bulan pertama tahun 2010.

 


Pengarang :