MP PR Sahut Debat Nong Chik | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Syarizat Xylog

MP PR Sahut Debat Nong Chik

SHAH ALAM,7 FEB : Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) sedia menerima cabaran debat ‘satu-lawan-satu’ dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pada bila-bila masa berhubung penggunaan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai pinjaman pemilikan unit-unit perumahan PPR.

Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar,Setiausaha Publisiti DAP Pusat dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua serta Ahli Majlis Pimpinan PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan media bersama mengalu-alukan debat dengan Menteri demi kebajikan dan maslahat rakyat.

Sebelum ini,laporan The Malay Mail menyiarkan cabaran Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin kepada salah seorang daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk berdebat berhubung isu terbabit.


Dalam laporan itu Raja Nong Chik berkata, golongan miskin ini tidak mungkin mendapat rumah tanpa bantuan. Adakah mereka (ahli-ahli parlimen PR) merasakan golongan ini tidak layak mendapat perumahan?.” Beliau juga menambah cabaran kepada kami untuk berdebat dalam sesi debat satu-lawan-satu di hadapan semua penduduk PPR terbabit.

” Kami sudah berkali-kali menyatakan pendirian Pakatan Rakyat yang mendukung sepenuhnya objektif mulia bagi menyediakan perumahan mampu milik untuk warga miskin bandar seluruh Negara. Pun begitu, matlamat ini iaitu memastikan warga miskin bandar memiliki perumahan adalah merupakan tanggungjawab kerajaan sedia ada, dan bukannya dipertanggungjawabkan kepada tenaga pekerja Malaysia.

“Justeru, kami amat mengalu-alukan debat dengan Menteri demi kebajikan dan maslahat rakyat bagi menjawab semua isu berkait di dalam suasana yang terbuka dan telus,” jelas ahli-ahli Parlimen PR itu.

Menurut mereka, di dalam memastikan masyarakat umum mengetahui isu sebenar kontroversi penggunaan dana KWSP ini, debat bersama Menteri haruslah terlaksana di dalam suasana adil, terbuka dan sama rata.

Debat yang bakal berlangsung ini tidak boleh terhad kepada penduduk rumah PPR di Kuala Lumpur sahaja, tetapi perlu dibuka kepada semua warga Malaysia, khususnya pencarum-pencarum KWSP.

Sebaik mungkin, debat yang akan diadakan kelak juga seharusnya tersiar di dalam televisyen untuk memastikan semua rakyat Malaysia yang mungkin tidak dapat turut serta termasuk pencarum KWSP Sabah dan Sarawak, diberi peluang menilai keberkesanan skim pinjaman khas ini.

Tambahan lagi, demi keterbukaan dan akauntabiliti, ahli-ahli Parlimen PR itu percaya Raja Nong Chik, yang bersedia berdebat dengan salah seorang daripada mereka.

“Dalam laporan akhbar tersebut Nong Chik berkata Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah silap dalam membandingkan skim pinjaman khas perumahan DBKL dengan pinjaman sub-prima yang katanya merujuk kepada pinjaman perumahan yang berdasarkan pada harga dua kali ganda nilai hartanah sebenar,” ujar mereka.

Menurut mereka lagi, Raja Nong Chik sebenarnya telah melakukan kesilapan di dalam usaha mempamerkan ‘kecerdikan’ beliau di dalam isu ini. Agensi bebas di Amerika Syarikat,the Federal Deposit Insurance Corporation (FDIC), dengan jelas mendefinisikan “sub-prima” sebagai:

“Ciri-ciri kredit peminjam individu. Peminjam sub-prima biasanya mempunyai sejarah kredit yang lemah, termasuk gagal membayar pinjaman secara konsisten … Mereka juga memaparkan keupayaan pembayaran balik yang lemah seperti yang diukur oleh skor kredit, nisbah hutang-kepada-pendapatan, atau kriteria lain yang merangkumi peminjam dengan rekod kredit yang tidak lengkap, tanpa menyebut nilai harta.”

Jelas mereka, fenomena sub-prima di sini merujuk kepada dana KWSP yang digunakan untuk meminjam wang kepada peminjam yang dianggap tidak layak untuk menerima pinjaman daripada kacamata bank-bank di dalam negara – seperti yang diakui sendiri oleh Menteri.

Pandangan Raja Nong Chik tentang isu sub-prima dan kaitannya dengan nilai hartanah kos rendah bernilai dua atau tiga kali ganda harga jualan semasa adalah jauh tersasar daripada hakikat sebenar.

“Seeloknya Menteri menggilap pengetahuan kredit dan pinjaman sub-prima sebelum mengambil cabaran untuk berdebat dengan salah seorang daripada kami, demi meyakinkan rakyat tentang keberkesanan dan kelayakan setiap ahli kabinet BN, terutamanya yang bukan dilantik oleh rakyat tetapi dilantik selaku Senator,” ujar Ahli-Ahli PR itu lagi.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION