NFC: Guna Dana Sewa Pasaraya Mewah Di Singapura | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

fairuz tahir

NFC: Guna Dana Sewa Pasaraya Mewah Di Singapura

SHAH ALAM, 29 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan pendedahan terbaru mengenai pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikatakan menggunakan sebahagian daripada dana awam berjumlah RM250 juta diperoleh bagi pelaburan dalam perniagaan pasaraya mewah di Singapura.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, pelaburan dibuat pengurusan NFC menerusi syarikat Farmhouse Supermarkets Pte Ltd (Farmhouse Supermarkets) oleh NFC diyakini terdedah kepada risiko kerugian.

Sebelum ini, PKR turut mendedahkan pelaburan perniagaan dibuat pengurusan NFC ke atas tiga buah restoran mewah dan pelaburan berjumlah RM44 juta dalam tiga kondominium mewah di republik itu.


Mohd Rafizi selanjutnya menjelaskan, maklumat diperoleh sepertimana dalam laporan pihak berkuasa Singapura menyatakan pelaburan itu dikendali Farmhouse Supermarkets yang sahamnya dimiliki keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil iaitu Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah sebanyak S$666,667.00 setiap seorang.

Menurutnya, Farmhouse Supermarkets dipercayai dibiayai Malayan Banking Berhad dan United Overseas Bank Limited melalui kaedah sama digunapakai untuk membiayai pembelian dua kondominium mewah di Marina Bay Suites berharga RM34 juta yang didedahkan baru-baru ini.

Sejak tahun lalu, katanya, berdasarkan laporan, syarikat itu aktif mengambil pekerja melalui pengiklanan dibuat dipercayai sebagai persediaan bila mana pasaraya itu bakal dibuka dalam tahun ini.

“Siasatan PKR menunjukkan Farhmouse Supermarkets telahpun menjadi penyewa utama kepada sebuah kompleks pasaraya mewah yang bernama Star Vista beralamat 35, Rochester Drive dan terletak di kawasan elit berdekatan dengan Nanyang Technology University. Pasaraya yang diusahakan Farmhouse Supermarkets ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini apabila kompleks Star Vista disiapkan.

“Siasatan PKR juga menunjukkan bahawa Farmhouse Supermarkets telah menandatangani perjanjian sewaan dengan CapitalMalls selaku pemaju bagi 28 unit ruang kedai di tingkat 2 kompleks tersebut dari unit #02-08 hinggalah unit #02-35.

“Semakan dengan harga pasaran bagi ruang kedai komersil di pasaraya di Singapura menunjukkan julat kadar sewa bagi satu meter persegi adalah di antara S$350 hingga S$500 sebulan bergantung kepada lokasi (berdasarkan kajian Competition Commission of Singapore). Oleh itu, jika keluasan 28 unit dianggarkan sekitar 3,000 meter persegi, tanggungan sewaan bulanan yang terpaksa dibayar Farmhouse Supermarkets adalah sekitar S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini bersama Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Mohd Rafizi berkata, sudah tentu perniagaan pasaraya itu akan dibiayai dari dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC, seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini.

Tegasnya, kenyataan pengurusan NFC yang mempertahankan hak mereka berbelanja dana RM250 juta itu mengikut citarasa mereka memperkuatkan lagi hujah bahawa sebahagian wang tersebut bakal dibelanjakan bagi membiayai pasaraya mewah ini.

“Oleh yang demikian, PKR mendesak supaya NFC berterus terang mengenai komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets ini termasuk perjanjian sewaan yang telah dimeterai,” katanya.

Menurutnya, tindakan tegas perlu dilakukan segera untuk merampas kembali semua dana awam yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan jenayah perdagangan.

Jika ini tidak berlaku dalam minggu ini, tambahnya, PKR akan melakukan pendedahan setiap minggu sehingga Dewan Rakyat bersidang pada pertengahan Mac ini.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION