Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Di Cabar Hadir Sesi SELCAT

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dituntut untuk mengadakan sesi pendengaran awam atau mahkamah rakyat bagi membongkar penyelewengan dana NFC sekiranya beliau benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan ketelusan dalam sesuatu pentadbiran.

Bagaimanapun, Noh Omar terlebih dahulu dituntut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin untuk hadir pada sesi pendengaran awam terhadap pengendalian pasir di Selangor yang melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Yayasan Selangor dan dua anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS).

“Datuk Seri Noh Omar dijemput untuk menghadirkan diri sepanjang sesi pendengaran awam ini berlangsung supaya beliau dapat memberikan maklumat dan bukti apa yang didakwa penyelewengan dalam KSSB khususnya.

“Kehadiran beliau amat penting, selain dapat menunjukkan keikhlasan beliau dalam membenteras rasuah, beliau juga boleh mendapat idea, inspirasi dan semangat untuk melakukan perkara yang sama dalam pentadbiran Kerajaan Pusat BN,” ujar Faekah tegas.

Sementara itu, Faekah turut mengulas kesediaan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membanteras segala bentuk penyelewengan dan salahguna kuasa.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi pentadbiran Kerajaan Pakatan yang mahukan pentadbiran kerajaan ini bersih daripada sebarang penyelewengan dan ketirisan dana awam.

“Ini penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran awam yang sebelum ini teruk tercemar disebabkan tindakan sesetengah pemimpin Umno/BN yang tamak dan mengamalkan kronisme,” jelas Faekah lagi.

Faekah juga menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab sekiranya terdapat bukti penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Selain itu, pendengaran SELCAT juga akan mampu menghapuskan reputasi buruk yang cuba dibayangkan sesetengah pihak terhadap anak-anak syarikat Kerajaan Negeri,” kata Faekah.


Pengarang :