Selangorkini
NASIONAL

Pakatan Sokong Himpunan Anti-Lynas

PETALING JAYA 14 FEB: Pakatan Rakyat sebulat suara menyokong penganjuran Himpunan Hijau pada 26 Februari sebagai usaha menterjemahkan gesaan memberhentikan projek nadir bumi oleh Syarikat Lynas di Gebeng, Kuantan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mewakili pimpinan Pakatan dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini semalam.

“Gerakan membantah Lynas diteruskan. Pada 26 Februari ini akan diadakan himpunan hijau, menentang Lynas di Kuantan.

“Pemimpin parti akan turun bagi menyatakan sokongan kepada penganjuran itu,” kata Anwar.

Projek yang diusahakan oleh firma Australia, Lynas dijangka akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Pembinaan loji kontroversi ini menjadi titik pertembungan antara Umno-BN dan Pakatan disamping menyaksikan kemarahan awam terus memuncak.

Tentangan terhadap loji itu berhubung kebimbangan terhadap keracunan radiasi terhadap masyarakat dan persekitaran.

Rakyat juga kelihatan kurang yakin dan percaya terhadap jaminan yang diberikan oleh kerajaan pusat Umno-BN dan Lynas bahawa operasi kilang itu hanya menghasilkan tahap radiasi yang amat rendah.

Mengulas lanjut perkara ini, Anwar bekata Gabungan Hentikan Lynas (SLC) akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang meluluskan Lesen Kendalian Sementara (TOL) untuk projek itu.

“Jawatankuasa itu akan mempersiapkan tindakan undang-undang bagi semakan kehakiman diadakan dalam masa yang segera dan diharapkan dapat dikemukakan sebelum 26 Februari ini,” jelas Anwar.


Pengarang :