Selangorkini
SELANGOR

Pelajar Cemerlang Di Rai

PETALING JAYA, 16 FEB – Ketekunan dan usaha gigih dalam menuntut ilmu menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan pelajar untuk memperoleh keputusan cemerlang sama ada dalam peperiksaan Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR), Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) mahupun Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Bagi Lai Choi Yi, 13, sikap tidak berputus asa dalam mendalami ilmu menjadi kunci kejayaannya untuk memperoleh keputusan cemerlang dengan rekod 7A dalam peperiksaan UPSR tahun lalu.

Katanya, dorongan ibu bapa juga adalah pembakar semangat untuknya terus berusaha demi mencapai kejayaan yang diidamkan.

“Saya banyak menghabiskan masa dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menduduki peperiksaan. Selain itu, saya juga sering mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan dan berjumpa dengan para guru sekiranya mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu subjek atau pelajaran,”katanya yang merupakan antara pelajar yang diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Dun Taman Medan di sini semalam.

Berkongsi kejayaan sama adalah Thiruvengadish A/L Sundaraju, 13 yang turut memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan UPSR.

Menurutnya, sikap suka bertanya dan tumpuan 100 peratus di dalam kelas yang dipraktikkan sejak awal telah melayakkannya mendapat keputusan yang memberansangkan.

“Semasa berada di dalam kelas, saya akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran yang disampaikan guru-guru. Saya juga sering melakukan latihan dan ulang kaji di rumah sekurang-kurangnya 2 jam sehari bagi menambah kefahaman saya terhadap sesuatu subjek,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Nurul Natasya Khasman yang merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya, ujarnya sikap tidak pernah berputus asa adalah antara faktor penting yang perlu diterapkan dalam diri pelajar untuk mencapai kejayaan.

Beliau yang menerima keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR dan PSRA percaya, tiada apa yang mampu menghalang kejayaan seseorang sekiranya berusaha gigih dan tekun.

“Kita tidak boleh mudah mengalah atau sedih kalau kita tidak mencapai apa yang diinginkan dalam pelajaran. Tetapi kita perlu positif dan terus berusaha sehingga berjaya,” ujarnya.

Seramai 209 orang pelajar dari 18 buah sekolah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR, PSRA dan PMR 2011 Dun Taman Medan di Dewan MBPJ di sini.

Dalam majlis itu, seramai 109 pelajar menerima keputusan cemerlang dalam UPSR, 69 pelajar menerusi PSRA dan 31 orang pelajar dalam PMR.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Dalam pada itu, Haniza dalam ucapannya menjelaskan, ibu bapa perlu memberi dorongan dan sokongan yang berterusan kepada anak-anak untuk membolahkan mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, galakan yang diberikan oleh ibu bapa berupaya menambah semangat pelajar untuk menuntut ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Ibu bapa perlu memberi galakan dan dorongan supaya kegigihan anak-anak ini akan diiktiraf dan dihargai. Majlis ini adalah untuk menyatakan rasa gembira dan penghargaan kepada pelajar supaya terus cemerlang di masa-masa akan datang,” jelasnya.


Pengarang :