Pelbagai

Pelancaran ABU Di Johor Bermula Esok

SHAH ALAM, 25 FEB : Kerajaan Umno-BN diingatkan supaya menghormati lunas-lunas demokrasi, tidak mengeksploitasi serta meracuni pemikiran anak muda dengan permainan politik kotor, ugutan dan penerapan budaya samseng demi survival politik parti itu.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor), Ahmad Anwar Asyraf berkata, beberapa siri program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) yang dilancarkan sebelum ini di negeri-negeri lain, telah mencetuskan provokasi dan gangguan tindakan tidak bertamadun yang melacurkan minda anak muda.

Menurutnya, segala ugutan, kecaman dan tindakan mensabotaj poster-poster promosi ini hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan aktivis SAMM dalam berjuang menentang rejim korup yang diamalkan Umno-BN.

“Menjelang program Pelancaran ABU Peringkat Negeri Johor pada 26 Februari ini, beberapa aktivis telah menerima kecaman dan ugutan dari individu-individu semasa memasang poster-poster promosi program tersebut di beberapa tempat sekitar Pasir Gudang.

Malahan, beberapa poster-poster promosi program tersebut telah dikoyakkan, diconteng dan disabotaj oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami percaya tindakan ini adalah langkah awal pihak-pihak lawan sebelum aksi samseng digunakan semasa program pelancaran nanti. Bahkan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan aksi ganas sekumpulan anak muda upahan di Sembrong, Kluang hingga menyaksikan cermin kereta Ketua Pembangkang Malaysia pecah,” tegasnya.

Tegasnya, SAMM Johor tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini.

Ini kerana jelasnya, anak muda tidak seharusnya dijadikan mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi survival politik melampau mereka.

Beliau berkata, Umno-BN seharusnya bertindak mendidik anak muda di negara iniu untuk berpolitik secara matang dan penuh ilmiah sebagai pewaris masa depan negara, dan bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda.

Tambahnya, program yang bakal berlangsung esok akan diadakan di premis persendirian serta merupakan platform terbaik bagi rakyat Johor untuk menyuarakan keperitan dan kepayahan mereka selama ini.

“ABU bukanlah satu gerakan yang dinaungi oleh mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan satu gerakan dari rakyat kepada rakyat.

Sewajarnya, UMNO menghormati perbezaan pandangan dan meraikan demokrasi. Ini sahaja platform yang ada untuk rakyat tertindas meluahkan penderitaan mereka apabila media-media cetak dan elektronik telah dirantai oleh rejim pemerintah,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, SAMM Johor akan menggerakkan kesemua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program bagi mengelakkan insiden sama seperti di Klang, Selangor dan Semberong, Kluang berulang lagi.

Malahan jelasnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut menyatakan kesediaan untuk bersama dalam mengawal keselamatan orang ramai sepanjang program tersebut berlangsung.

 


Pengarang :