Selangorkini
SELANGOR

Pendengaran Awam Selcat isu pasir 5 – 7 Mac

SHAH ALAM 20 FEB : Jawatankuasa Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan mengadakan pendengaran awam bagi tiga kes pengurusan anak syarikat kerajaan Selangor termasuk yang mengendalikan perlombongan pasir.

Pendengaran awam tersebut akan di adakan pada 5 hingga 7 Mac dan sesiapa yang mempunyai maklumat tentang dakwaan berlaku penyelewengan di dalam kontrak pasir di Selangor, samada menteri, blogger atau individu, diminta tampil ke hadapan.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Kim meminta orang awam memberi keterangan bertulis kepada Selcat supaya jawatankuasa itu boleh menentukan samada ia ada kaitan dengan kes-kes yang akan didengarkan nanti.

“Saya harap beberapa pihak yang mendakwa mereka mempunyai bukti penyelewengan dalam jabatan kerajaan atau Kumpulan Semesta atau PKPS atau Yayasan Selangor memaklumkan kepada pihak kami supaya kami dapat mengesahkan kaitan keterangan yang meraka akan berikan,” katanya di dalam satu sidang akhbar di sini.

Teng berkata tiga kes itu termasuk dakwaan ada penyelewengan di dalam pemberian kontrak perlombongan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB)

Tambahnya, Selcat juga akan memanggil pegawai tertinggi Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi memberi keterangan.

Yayasan Selangor dipanggil berkenaan satu laporan audit dalaman tentang perlantikan pengurus besarnya.

Manakala dua anak syarikat PKPS, PKPS Agro-industri dan PKPS Premium Agro Produks dipanggil berkenaan pinjaman RM180 juta yang diambil bagi membeli peralatan pertanian.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata beliau mempunyai bukti tentang penyelewangan kontrak pasir KSSB dan akan tampil memberikan keterangan kepada Selcat.

Teng menjelaskan tujuan pendengaran awam tersebut adalah bagi memperbaiki cara pentadbiran kerajaan selangor dan anak syarikat dibawahnya dan bukan untuk menyiasat atau mendakwa sesiapa yang salah.

“Bidang kuasa dan fungsi Selcat dan polis dan SPRM berlainan. Selcat bertumpu kepada pentadbiran dan pemantauan.”

“Kita lebih lihat dari segi pentadbiran untuk menentukan kebertanggungjawapan dan ketelusan.

“Sementara itu kalau ada orang yang melakukan kesalahan jenayah, samada di bawah bidang kuasa polis atau SPRM, maka mereka perlu jalankan siasatan berdasarkan undang-undang berkenaan.”jelas Teng lagi.

 


Pengarang :