Selangorkini
NASIONAL

Penduduk Minta Jambatan Konkrit

SABAK BERNAM 28 FEB : Penduduk Kampung Parit 10 dan 12 meminta kerajaan negeri  menyegerakan pembinaan jambatan konkrit di hadapan Masjid Parit 10 di sini bagi memberi kemudahan orang ramai keluar dan masuk ke masjid itu.

Masalah yang berlaku lebih lima tahun itu menyukarkan penduduk untuk masuk dan keluar di kawasan itu terutama jika berlaku kecemasan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Parit 12, Abdul Latif Tigiron berkata, masalah ini perlu diselesaikan segera kerana ia banyak mendatangkan masalah kepada penduduk kampung.

Beliau berkata, pelbagai urusan sukar dijalankan terutama melibatkan aktiviti agama seperti ibadah, pengurusan jenazah dan sebagainya.

Abdul Latif berkata, beliau yakin kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Sementara itu, Penyelaras DUN Sabak Bernam, Sallehen Mukhyi berkata, difahamkan perancangan bagi membina jambatan konkrit di kampung itu sudah diluluskan.

“Difahamkan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd akan memberikan sumbangan untuk pembinaan semula jambatan ini.

“Ia adalah sesuatu yang positif dan mengembirakan bagi penduduk kampung yang amat berharap jambatan itu dibina demi kemudahan untuk keluar masuk ke masjid ini,” katanya.

Ketika ini, jemaah masjid menggunakan jambatan kampung sebelah yang agak jauh untuk ke masjid.


Pengarang :