Selangorkini
NASIONAL

PKR Sokong Tuntutan CUEPACS

SHAH ALAM, 24 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan tuntutan CUEPACS agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM 700 hingga RM2500 bagi penjawat awam sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Menurut laporan United Nations (UN) Public Administration Network Public Service pada 2006, Malaysia merekodkan jumlah nisbah gaji tertinggi dan terendah di rantau ini dengan nisbah sekitar 19.5:1.” kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah.

“Ini bermakna gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah.

“Oleh itu, PKR menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan visi ini,” ujar puteri sulung Ketua Pembangkang ini.

Selain itu, Izzah juga menjelaskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, PR akan menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama selain insentif khas RM 500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana termaktub di dalam Buku Jingga.

“Sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam.

“Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000
penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada,” tambah Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Katanya segala komitmen Pakatan Rakyat jauh berbeza dengan cadangan SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori Premier layak menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu hanya sebanyak RM1.70 sebulan.

“PKR menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji syor terbaru yang dibentangkan CUEPACS serta saranan Pakatan Rakyat.

“Kita juga menyarankan agar semakan gaji dapat dilakukan setiap 5 tahun supaya mudah diselaraskan dengan kadar inflasi semasa,” ujar beliau.


Pengarang :