PR Berjaya Atasi Projek Rumah Terbengkalai Era BN Di Subang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

PR Berjaya Atasi Projek Rumah Terbengkalai Era BN Di Subang

SHAH ALAM 2 FEB : Kerajaan Negeri Selangor ditadbir Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengatasi masalah projek perumahan di Subang yang terbengkalai hampir 20 tahun yang diwarisi daripada BN.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, projek perumahan terbengkalai bagi penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya, Subang adalah satu daripada 140 projek yang ditinggalkan Umno-BN ketika menerajui Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.


Menurutnya, sejak mengambilalih Kerajaan Negeri, PR berusaha mengatasi masalah dihadapi rakyat termasuk projek rumah terbengkalai kerana Umno-BN lebih mengutamakan pemilikan kediaman kepada pemimpin dan ahli parti itu.

Masalah seperti itu, jelasnya dihadapi penduduk rumah panjang tersebut apabila Syarikat Sinar Fadzilat Sdn Bhd telah menukar status kediaman apabila dijadikan kawasan perumahan banglo mewah untuk pemimpin Umno-BN tempatan.

“Ini bermula pada 1994 mereka dipindahkan ke sini ke rumah panjang kerana tempat mereka akan didirikan oleh Sinar Fadzilat Sdn Bhd dan mereka dijanjikan dibina rumah kos rendah di satu tapak bersebelahan dengan rumah panjang sekarang.

“Sepatutnya dalam dua tahun pada masa itu sudah siap dan mereka dapat rumah tetapi tak jadi dan kita kena faham kenapa tak jadi. Sebabnya tanah yang diperuntukkan untuk rumah kos rendah itu diambil oleh pemimpin Umno-BN tempatan sendiri ditukar kepada lot besar untuk banglo,” katanya kepada media di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.

Projek perumahan itu diambilalih ECL Management Sdn Bhd yang akan menyiapkan pangsapuri kos rendah itu dengan jumlah 480 unit dalam tempoh setahun. Penduduk Kampung Bunga Raya diberi hak pemilikan dengan harga jualan RM42,000 manakala pemilik lain dengan harga RM68,000.

Sivarasa berkata, hak penduduk kampung itu dinafikan selama ini serta keadaan itu amat mendukacitakan.

Pihaknya turut mempersoalkan kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shafie Abdullah dalam lawatan ke kawasan itu pada 28 Januari lalu yang berjanji akan menyelesaikan masalah itu sekiranya Selangor dikembalikan kepada Umno-BN.

Tegasnya, sewajarnya Shafie meminta maaf kepada penduduk Kampung Bunga Raya atas kegagalan itu dan penindasan yang dilakukan Umno-BN selama ini.

“Untuk memulihkan projek terbengkalai bukan senang khususnya kos rendah sebab hutangnya besar dan subsidi oleh pemaju yang sudah melarikan diri. Projek ini berhutang berjuta-juta ringgit. Cukai tanah, cukai pintu dan macam-macam,” katanya.

Namun katanya PR komited untuk menyelesaikan masalah itu yang membebani rakyat dalam tempoh lama.

Dr Mohd Nasir pula berkata, PR dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memastikan usaha pemulihan itu berjalan lancar.

Katanya, pastinya apa dilakukan itu adalah demi kebaikan penduduk yang selama hampir 18 tahun mendiami rumah panjang yang dikatakan kediaman sementara.

“Saya percaya dan saya telah berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan MBSA mahu bekerjasama dan membantu mengatasi masalah ini. Menang dalam perjuangan kita dan duduk rumah panjang lebih 18 tahun itu sudah lebih.

Kita anggap dalam dua tahun dah pindah tapi oleh kerana berlaku perkara seperti ini kita kena tanggung beban kita akan berusaha untuk mengatasi masalahnya,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah menyumbang pelbagai bantuan kepada penduduk seperti bayaran bil air, membaikpulih paip air dan yang lain di kawasan rumah panjang tersebut.

Seorang pembeli, M Selvam, 50, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana hasratnya memiliki rumah sendiri terlaksana juga selepas Kerajaan Negeri mengatasi segala masalah dan projek perumahan itu dapat diteruskan hingga disiapkan.

Katanya, kawasan tersebut adalah berpotensi pada masa depan dan menjadi kawasan tumpuan ramai dengan pelbagai pembangunan di sekitarnya.

“Cantiklah. Ini bandar Subang akan mengalami banyak pembangunan dan dikatakan satu stesen LRT akan dibina di sini,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION