Selangorkini
SELANGOR

Program Basmi Tikus Eratkan Kerjasama Penduduk

PUCHONG, 21 FEB: Bagi mencegah wabak yang dibawa tikus, penduduk Flat Puchong Permai di sini keluar beramai-ramai untuk menyertai program pembasmian tikus di kawasan mereka pada malam 18 Februari.

Program yang di namakan “Gotong Royong Pembasmian Kacau Ganggu Tikus Di Kawasan Perniagaan” dianjurkan bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jawatankuasa Penduduk Zon 14 MPSJ.

Ia disertai kira-kira 100 penduduk setempat termasuk golongan muda.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Penduduk, Ahmad Salleh berkata, program tersebut memberi pelbagai manfaat kepada penduduk setempat.

“Program seperti ini banyak beri manfaat kepada penduduk-penduduk Puchong Permai ini dalam mewujudkan persekitaran yang lebih sihat sekaligus mencegah wabak penyakit bawaan tikus.

“Selain itu, ia juga mampu mewujudkan kerjasama erat sesama penduduk tanpa mengira bangsa atau fahaman politik dan juga dengan MPSJ selaku pihak berkuasa kawasan ini.

Penduduk dan kakitangan MPSJ khususnya dari Jabatan Kesihatan MPSJ telah bersama-sama meletakkan umpan racun tikus di lokasi-lokasi tumpuan tikus, kata beliau kepada TVSelangor.

Mohd Sabri Abd Karim, 46, pula berkata program seperti ini diadakan tepat pada masanya bagi mencegah penyakit Leptospirosis atau penyakit bawaan air kencing tikus yang mampu menyebabkan kematian.

“Program seperti ini diadakan memang tepat pada masanya sebab kita tahu penyakit yang berpunca dari air kencing tikus semakin menular.

“Saya harap program kita hari ini tidak berakhir setakat ini sahaja, tetapi wajar diteruskan pada masa hadapan,” beritahu beliau.

Sementara itu, peserta muda program tersebut, Nik Mohd Arif Rasydan Bin Rosli, 15 tahun pula berharap lebih ramai rakan sebaya beliau menyertai program gotong royong seumpamanya.

“Walaupun saya masih muda, saya dan rakan-rakan berbangga kerana dapat sama-sama membantu menjayakan program ini.

“Cuma saya harap lebih ramai rakan-rakan dapat meluangkan masa menyertai program gotong royong di lain kali,” ujar beliau.

Program yang bermula malam tadi akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pada pagi 19 Februari.


Pengarang :