NASIONAL

‘Projek wahyu’ Jadi Lubuk Umno/BN Rompak Duit Rakyat

SHAH ALAM, 16 Febuari: Projek rundingan langsung yang juga dikenali sebagai ‘projek wahyu’ merupakan penyumbang terbesar ketirisan dan pembaziran wang rakyat tetapi dianggap sebagai lubuk duit bagi kroni Umno-BN di pelbagai peringkat.

Syarikat- syarikat yang memperolehi sesuatu projek juga kerap didapati tidak memiliki kelayakan dan pengalaman bersesuaian bagi menjalankan sesuatu projek yang dianugerahkan.

” Pemberian projek secara rundingan terus atau projek wahyu ini mudah dimanipulasikan, wang rakyat disalahgunakan dengan melantik kroni-kroni mereka menjalankan sesuatu projek dan merompak duit rakyat.

“Kita sering dengar berita, syarikat yang dapat projek rundingan terus akhirnya gagal menyiapkan sesuatu projek dengan sempurna dan akhirnya projek itu hanya beri peluang kroni pemimpin tertentu buat duit dan bukannya beri manfaat rakyat terbanyak,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin hari ini.

Shamsul turut tidak menolak isu kegagalan projek yang membabitkan National Feedlot Corporation (NFC) yang tercetus baru-baru ini juga sebagai sebahagian daripada akibat kecuaian dan ketidak telusan dalam memberi projek-projek kerajaan.

“Bagitu juga dengan isu pembaziran wang rakyat yang diumumkan Jabatan Audit negara berhubung pembaziran wang negara berjumlah lebih RM20 bilion setahun disebabkan oleh pemberian kepada kroni yang tidak berpengalaman.

“Akhirnya wang lesap projek tak terlaksana dan rakyat yang menanggung kesusahan,” katanya ketika dihubungi.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid mendapati kebanyakkan projek wahyu yang dikendalikan kerajaan BN dikategorikan tenat.

Azmi turut menyarankan agar kerajaan mengetatkan sistem pemilihan yang membabitan projek rundingan terus.

Antara projek-projek tersebut ialah projek pembinaan jalan raya luar bandar, sekolah, pelabuhan, landasan kereta api, penjara, kem tentera,pembekal makanan sekolah, pembekal peratan kementerian dan hospital dan penyelenggara bangunan.

Menurut Shamsul, kerajaan harus mencontohi kerajaan Selangor kerana menggunakan dasar tender terbuka.

“BN patut contohi Kerajaan PKR Selangor sekarang, setiap projek disaring dengan ketat dan telus bagi memastikan setiap sen wang yang dibelanjakan dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

“Sebab itulah, walaupun Kerajaan Selangor tidak mendapat dokongan kewangan dari kerajaan pusat tetapi mereka berjaya menyimpan 1.9 bilion wang dari hasil yang mereka perolehi.” katanya.

Sementara itu pada Januari lalu, kerajaan pusat telah menggunakan wang rakyat sebanyak RM2.71 bilion untuk diberikan kepada Umno Selangor.

Wang tersebut tidak diserahkan kepada kerajaan negeri tetapi diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno di negeri itu untuk menumbangkan Pakatan Rakyat Selangor.

Wang rakyat yang sebegitu besar diperlakukan sewenang-wenangnya oleh Umno selangor tanpa di audit dan diketahui kemana wang tersebut disalur dan dibelanjakan.

 

 


Pengarang :