SELANGOR

Sivarasa : Selamatkan Negara Dari Barah Korupsi Umno-BN

SUBANG, 4 FEB : Ketirisan dan amalan korupsi yang diamalkan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu merupakan faktor utama mengapa rakyat Malaysia perlu melakukan perubahan dari sudut pemerintahan negara.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, keadaan ekonomi negara yang semakin merudum dan kecurian wang rakyat yang berlaku secara terang-terangan juga antara penyebab perlunya pentadbiran kerajaan sekarang ditukar.

Menurut Sivarasa, rakyat akan semakin menderita dan bakal menanggung kerugian kerana semakin terbeban dengan pentadbiran Umno-BN yang hanya mementingkan kroni semata-mata.

“Keadaan negara kita sekarang sudah sampai ke tahap di mana rakyat tiada pilihan, selain membuat perubahan di negara ini. Bagi saya, tiada masa untuk rakyat tanya mengapa kerajaan sekarang perlu diubah.

Untuk mengelakkan negara daripada terus rosak dan musnah kerana ketirisan Umno-BN, maka kita mesti ubah kerajaan sekarang dengan menggantikan kerajaan baharu iaitu Pakatan Rakyat (PR) di Putrajaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina di Pekan Subang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.

Tambah Sivarasa, tahun 2012 merupakan tahun penting bagi seluruh rakyat di negara ini kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka akan berlangsung sedikit masa lagi.

Ini kerana jelasnya, PRU-13 bukanlah sekadar pilihan raya biasa seperti tahun-tahun sebelumnya, sebaliknya ia akan menentukan masa hadapan negara dan nasib rakyat sendiri.

“Kali ini rakyat tiada pilihan lagi selain memilih pemimpin baru. Sekiranya rakyat terus-terusan memilih Umno-BN, negara kita akan tentu musnah di masa hadapan. Mesej ini perlu disampaikan kepada semua.

Malaysia akan menjadi sebuah negara yang hebat dan bertambah maju, tetapi bukan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang,” tegasnya.

 


Pengarang :