Selangorkini
NASIONAL

Tee Keat, Perkasa Sokong Debat Anwar-Najib

SHAH ALAM, 29 FEB: Cadangan debat antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disokong sebulat suara oleh para panelis Wacana Sinar termasuk Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA), Ruslan Kassim ketika diajukan pertanyaan dalam isu terbabit.

Isu debat antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (Pakatan) dan Umno-BN itu timbul apabila ianya dicadangkan moderator wacana yang bertajuk ?Mengapa Undi Melayu Pecah?? Dr Maszlee Malik di sini.

“Saya rasa ianya dipersetujui oleh semua panelis bahawa menjelang pilihan raya tak kira Melayu, Tionghua, India dan lain-lain mahu buat keputusan yang baik.

“Kita perlu calon PM dari BN dan Pakatan untuk berdebat membincangkan hala tuju negara ke mana hendak dibawa negara ini, adakah panel kita setuju?,” soal Maszlee yang disambut dengan persetujuan para panelis.

Ruslan, tanpa mengulas panjang dalam isu debat Anwar-Najib, sekali lagi memberikan persetujuan menyokong debat itu diadakan apabila sekali lagi wartawan bertanyakan soalan sama kepada beliau.

Persetujuan para panelis wacana bagi memberikan sokongan terhadap cadangan debat Anwar-Najib itu diadakan juga mendapat tepukan gemuruh oleh wartawan dan orang ramai dalam sidang media itu.

Selain Ruslan, Wacana Sinar Siri ke-11 itu turut menampilkan MP Pandan dari Umno-BN, Datuk Seri Ong Tee Keat, MP Kuala Selangor dari Pas, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai ahli panel.

Mengulas isu sama, Tee Keat menganggap ianya satu cadangan yang relevan untuk membantu pengundi membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya yang akan datang.

“Ia memang satu cadangan yang tepat dan memang relevan. Memang kita harap-harapkan majlis sedemikian rupa dianjurkan, tetapi pada masa yang sama janganlah kita jadikan satu wadah berceramah,” kata beliau.

Sebelum ini, cabaran debat yang diajukan oleh Anwar kepada Najib tidak mendapat reaksi positif dari Najib.


Pengarang :