Selangorkini
SELANGOR

Zentrum: SPR Tidak Perlu Takut Pada Pemerhati Luar

SHAH ALAM 9 FEB : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak seharusnya bersikap curiga dan takut terhadap pemerhati luar dalam memastikan sebuah pilihanraya yang adil dan bersih dapat dijalankan di negara ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengasas Zentrum Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berhubung kenyataan SPR yang menolak kedatangan pemerhati asing pada pilihanraya akan datang.

“SPR bukan sahaja perlu menjadi sebuah institusi yang berperanan menyuburkan demokrasi malah ia perlu bersifat lebih terbuka untuk memahami nilai demokrasi sepenuhnya.

“Jadi kenyataan SPR terhadap badan pemerhati luar sebagai tidak penting, jelas bertentangan dengan aspirasi transformasi yang dibawa oleh kerajaan sendiri,”

“Apakah ketakutan yang ada pada SPR untuk meragui dan mengesyaki badan-badan pemerhati ini sebagai agen-agen pihak tertentu yang mampu mencederakan proses pilihanraya yang bakal dijalankan? sudah pasti ianya tidak akan berlaku,”katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar (gambar) mengingatkan parti-parti pembangkang supaya tidak ghairah menarik pemerhati asing ke negara ini untuk memantau proses Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Wan Ahmad berkata pemerhati asing, yang mungkin mewakili badan bukan kerajaan (NGO) tertentu, tidak memahami undang-undang pilihan raya di negara ini.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Abu Hassan mengingatkan SPR untuk berfungsi sebagai sebuah institusi profesional bagi mengurus perjalanan pilihanraya yang adil, bersih selain merayakan demokrasi segar dan bukannya bertindak diluar bidang kuasa suruhanjaya tersebut

“SPR tidak boleh mencampuri kepentingan dan keuntungan politik mana-mana pihak, tidak kira parti A mahupun parti B.

“Sikap berpihak kepada mana-mana, bakal menyaksikan SPR sebagai satu badan yang mungkin akan disalahkan oleh rakyat pada masa hadapan sekiranya negara kita ketinggalan dalam aspek merayakan demokrasi,”katanya.

 


Pengarang :