Selangorkini
NASIONAL

Zuraida Sedia Hadapi Shahrizat di Mahkamah

PETALING JAYA 8 FEB : Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini mengesahkan beliau menerima kertas saman yang dikemukakan terhadapnya berhubung pembongkaran isu Pusat Fidlot Negara (NFC).

Zuraida berkata, pihaknya mengalu-alukan saman yang dikemukan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil kerana memberi peluang kepada pihaknya mendapatkan maklumat-maklumat penting yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

“Kami yakin saman tersebut tidak ada asas dan bersedia untuk bertemu di mahkamah pada bila-bila masa sahaja.

“Untuk tujuan itu, kami telah melantik satu pasukan peguam yang terdiri daripada Ranjit Singh, Sivarasa Rasiah, N.Surendran dan Gopal Sreenevasan,” jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

PKR sebelum ini mendakwa wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC. Projek itu diberikan kepada syarikat yang dimiliki suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail dan anak-anaknya.                                                                                                                          

Isu NFC ini muncul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya disamping mempunyai tindakan salahguna dana.

Sebagai respon terhadap segala dakwaan yang melibatkan diri dan keluarganya, Shahrizat memfailkan saman terhadap dua pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Saman yang difailkan melalui peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di Jalan Duta menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta dari Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Zuraida.

Bercakap kepada pemberita, Zuraida berkata pihaknya juga bersedia untuk memanggil saksi-saksi penting yang bertanggungjawab membuat keputusan bersabit NFC di semua peringkat bagi merungkai skandal besar negara ini.


Pengarang :