Selangorkini
SELANGOR

Akhirnya Penduduk Banjaria Court Boleh Gembira

BATU CAVES, 10 MAC : Selepas hampir dua tahun menunggu, pembeli Pangsapuri Banjaria Court, Taman Samudera di sini menarik nafas lega apabila menerima kunci rumah mereka daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dalam sebuah majlis di sini, sembilan pembeli menerima replika kunci pangsapuri bagi mewakili 704 pembeli yang sudah pun menerima kunci lebih awal. Projek itu sepatutnya siap pada Disember 2010 tetapi ditangguhkan.

Pembeli, Azni Izzah Abd Aziz, 36, melahirkan rasa kesukuran dengan penyerahan kunci oleh PKNS baru-baru ini.

“Banyak tindakan yang diambil oleh jawatankuasa penduduk termasuk menghantar surat sebanyak empat kali kepada PKNS melalui pos, serahan tangan, fax dan email bagi tuntutan tindakan segera PKNS.

“Bagaimanapun kami (pembeli) merasa lega apabila semuanya sudah selesai dan kami juga memahami pihak PKNS dalam menghadapi kekangan tertentu untuk melengkapkan proses pembinaan rumah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis penyerahan kunci rumah itu dirasmikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad. Turut hadir Timbalan Pengurus Besar bahagian Pentadbiran dan Pembangunan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd Yusof dan Timbalan Pengurus Besar bahagian Teknikal, Abdul Ghani Hashim.

Dalam majlis itu, sembilan pembeli menerima replika kunci pangsapuri sebagai simbolik mewakili 704 pembeli yang lain.

Projek perumahan yang merangkumi blok A, B1, B2, dan B3, masing-masing mempunyai keluasan 891 hingga 1,224.95 kaki persegi dan bernilai RM192,500 hingga RM326,700 setiap unit.

Sebelum ini, penduduk mendakwa, akibat kelewatan itu, pembeli terpaksa membayar faedah dan keuntungan pembiayaan kepada pihak bank.

Penduduk juga mengambil inisiatif mewujudkan sekretariat bertindak bagi mewakili suara penduduk dalam masalah itu.

Seorang pembeli lain, Ahmad Akil Ariffin, 30, meluahkan rasa gembiranya apabila kerajaan negeri berjaya menyelesaikan projek perumahan itu.

“Saya berasa gembira dan senang hati apabila menerima kunci ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana akhirnya berjaya juga menyiapkan projek perumahan ini setelah dua tahun menunggu,? katanya.

Projek itu mula dilaksanakan pada 2007 dan mula dijual pada 2009 dan memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF) pada 4 Januari 2012 dan proses penyerahan kunci secara berperingkat sudah bermula pada 23 Januari 2012.

Projek perumahan itu menelan belanja lebih RM100 juta dan pangsapuri itu dilengkapi kemudahan termasuk rumah kelab, ruang gym, dua gelanggang badminton, lot tadika, pejabat, BBQ Bit, taman permainan dan tempat letak kereta berbumbung.


Pengarang :