SELANGOR

Automotive Belt Jana Pertumbuhan di Hulu Selangor

SHAH ALAM 20 MAC : Beberapa kawasan sekitar Hulu Selangor seperti Serendah dan Kuala Kubu Baru telah mengalami pembangunan
komersil yang memberangsangkan hasil daripada pelan Kerajaan Selangor untuk membangunkan Automotive Belt di daerah itu.

Pelan Automotive Belt ini telah menyebabkan wujudnya transformasi pembangunan tanah dari tanah pertanian ke perbandaran.

Ini melahirkan pusat pertumbuhan baru seperti Bandar Baru Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Lembah Beringin dan Sungai Buaya.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim berkata kerajaan negeri sentiasa mempertingkatkan
insfrastruktur kawasan-kawasan perindustrian yang berpotensi bagi menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut sekaligus
menarik minat pelabur.

“Sebagai rekod, pada tahun 2011, sebanyak RM 2.02 billion diperuntukkan untuk pembangunan sektor perindustrian ini.

“Peruntukkan ini ditambah lagi (RM 4.95 juta) untuk membesarkan kilang-kilang dan kursus-kursus kepada golongan belia,
penuntut di kolej dan universiti dalam bidang automotif, mekanikal dan kejuruteraan sebagai usaha menjana modal insan
dalam sektor ini,” jelas Teresa bagi menjawab soalan dari ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Selain merupakan pelengkap kepada Proton City di Tanjung Malim, lokasi ini menjadi tumpuan syarikat-syarikat pembuatan
barangan peralatan kenderaan yang merupakan vendor kepada Perodua, Nissan dan Proton.

Bagi mengalakkan lagi perkembangan dan pertumbuhan pesat sektor ini, Teresa berkata Kerajaan Negeri melalui SSIC Berhad
sedang giat mempromosikan kawasan-kawasan tersebut kepada pelabur yang berpotensi.

“Kerajaan negeri menggunakan beberapa pendekatan dalam membangunkan kawasan ini antaranya mewujudkan corak pembangunan
berpusat selain meningkatkan kelengkapan insfratruktur.”


Pengarang :