NASIONAL

Isu Jeti: Saman Untuk Halang Diketahui Rakyat

SHAH ALAM, 27 MAC : Cadangan supaya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menyaman mana-mana pihak yang melaporkan isu pembinaan sebuah jeti di Tanjung Karang yang dibina tanpa kelulusan hanya bertujuan menghalang isu sebenar dari diketahui rakyat.

“Sebenarnya LKIM, (Datuk Seri) Noh Omar pun memang tahu kebenaran isu yang saya sebutkan tempoh hari.

“Cuma mereka ambil tindakan saman semata-mata untuk dapatkan perintah sementara mahkamah menghalang dari isu ini disebarkan sekaligus cuba menyekat rakyat dari mendapat maklumat dalam isu ini.

“Tetapi ini adalah hakikat sebenar apa yang berlaku dalam isu ini, rakyat mesti tahu,” kata Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri tentang isu jeti itu di Pasir Penambang,

Tambahnya, duit bina jeti itu bukannya duit LKIM, Noh Omar ataupun Umno, tetapi milik dana awam atau rakyat.

“Jadi apa yang tak kenanya jika rakyat tahu kedudukan sebenarnya?” Soal beliau ketika dihubungi petang ini.

Menurut Yahaya, LKIM tidak mempunyai alasan kukuh untuk mengambil tindakan saman dalam isu ini.

“Di bahagian mana cakap saya ada yang salah tentang pembinaan Jeti LKIM ini, dah memang mereka bina tanpa pelan kelulusan.

“Kalau bukan LKIM sekalipun, tak kiralah samada melibatkan pihak pro Pakatan Rakyat pun saya akan dedahkan,” kata beliau.

Yahaya turut memberitahu Noh dan LKIM sepatutnya menghormati undang-udang negara ini.

“Tetapi mereka sendiri tidak hormati undang-undang dengan membelakangkan peraturan untuk bina bangunan, jadi macamana nak didik masyarakat supaya ikut undang-undang,” kata beliau lagi.

Dalam laporan akhbar Sinar Harian Jumaat lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberitahu, LKIM sebuah agensi di bawah kementeriannya akan mengambil tindakan saman terhadap akhbar Selangor Kini terbitan kerajaan negeri setelah melaporkan ia dibina tanpa pelan kelulusan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Bagaimanapun selain akhbar Selangor Kini, Sinar Harian yang turut memberikan fokus dalam isu yang sama tidak pula disebut sebagai pihak yang akan berhadapan dengan tindakan saman itu.


Pengarang :