LYNAS: Kenyataan Menteri Tidak Masuk Akal | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

fairuz tahir

LYNAS: Kenyataan Menteri Tidak Masuk Akal

SHAH ALAM, 2 MAC : Selamat Malaysia Berhentikan Lynas (SMSL) mempersoalkan kenyataan dibuat Datuk Dr Maximus Ongkili dan Datuk Seri Liow Tong Lai berhubung operasi Lynas Corporation Ltd (Lynas) di Gebeng, Kuantan dan menganggapnya sebagai amat mengelirukan.

Pengerusi SMSL, Tan Bun Teet berkata, apa dinyataka Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Kesihatan itu tidak boleh diterima kerana amat tidak tepat sama sekali.

“Dr Maximus dalam laporan pada 28 Februari lalu menyatakan sisa air dari loji nadir bumi di Amerika Syarikat telah dibenarkan untuk disalurkan terus ke laluan air.


Bagaimanapun Molycorp, satu-satunya syarikat yang menjalankan  operasi tersebut sebenarnya telah ditutup lebih 10 tahun lalu akibat berlaku pencemaran air bawah tanah di negara itu. Tidak ada sisa air yang boleh dilepaskan ke dalam mana-mana laluan air tidak seperti loji Lynas yang menyalurkan air yang tercemar ke dalam Sungai Balok dan Laut China Selatan.

“Liow pula mencadangkan Lynas menghantar sisa radioaktifnya ke Australia juga mengelirukan kerana kerajaan Australia sudah menyatakan tidak akan menerima sebarang sisa radioaktif dari negara lain termasuk dihasilkan Lynas,” katanya dalam satu kenyataan.

Tan menjelaskan Kerajaan Australia Barat melalui Menteri Galian dan Petroleum, Norman Moore telah membuat kenyataan berhubung perkara itu melalui pertanyaan seorang Ahli Parlimennya, Robin Chapple pada April tahun lepas manakala terbaru pada minggu lepas kepada pihak media.

“Ia adalah menggemparkan di mana menteri di negara ini membuat kenyataan tidak berasas dan mengelirukan ryat. Malah ia amat mendukacitakan kerana menggambarkan ketidakseriusan kerajaan dalam menangani masalah dihadapi rakyat berhubung operasi Lynas ini,” katanya.

Beliau berkata, cadangan Liow juga pada asasnya telah melanggar komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusan.

Menurutnya, ia adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa bagi mengangkut sisa radioaktif berbahaya dari kilang Lynas merentasi sempadan negara.

Katanya isu Lynas itu amat memalukan negara di mata media antarabangsa dan negara lain kerana Malaysia kini diperhatikan serta mendapatkan laporan secara meluas di seluruh dunia.

“Tahap tadbir urus di negara ini dilihat amat mengecewakan. SMSL kecewa dengan situasi ini di mana cara tidak profesional menteri dan pengurusan kanan yang memperlihatkan ketidakupayaan untuk menangani masalah berkaitan Lynas ini,” katanya.

Tan selanjutnya berkata, seharusnya Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA), Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menjaga dan menjamin keselamatan masyarakat dengan lebih serius.

“LPTA dan Menteri Besar mempunyai tangungjawab bagi menjaga keselamatan penduduk. Namun kenyataan dibuat kedua-duanya yang menyatakan operasi Lynas itu tidak membahayakan adalah tidak diyakini dan boleh dipersoalkan.

“Adalah malang dan tidak boleh diterima oleh rakyat sebagai pembayar cukai di negara ini. Lebih buruk lagi, negeri dan masa depan negara serta ekonomi kita juga akan terjejas dengan keputusan dibuat kerajaan berkaitan Lynaas ini,” katanya.

Tan menambah, perhimpunan dilakukan rakyat dengan kira-kira 15,000 orang pada Ahad lepas adalah satu ujian besar kepada kerajaan pusat.

“Kempen Berhentikan Lynas akan diteruskan lagi selepas ini. Tindak balas kurang baik dari kerajaan dan kenyataan tidak bertanggungjawab akan hanya menyemarakkan kebangkitan rakyat.

“Kami juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung isu ini,” ujarnya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION