Selangorkini
SELANGOR

MB : Tiada Projek Pembangunan Di Atas Tanah Rizab Melayu Sejak Tiga Tahun

SHAH ALAM 21 MAC : Kerajaan Negeri Selangor tidak menjalankan sebarang projek pembangunan yang melibatkan tanah rizab melayu melibatkan anak-anak syarikat Kerajaan Selangor sejak tiga tahun lalu.

Menjawab pertanyaan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim turut menjelaskan Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai perancangan yang khusus untuk membangunkan tanah-tanah rizab melayu.

Katanya lagi, kebanyakkan tanah-tanah rizab melayu yang terletak di kawasan strategik seperti di Klang, Hulu Langat dan Sepang ada dibangunkan untuk projek perumahan tetapi perlaksanaan itu demi meningkatkan tahap ekonomi orang melayu.

“Ianya dilakukan mengikut perancangan Kerajaan Negeri khususnya untuk membangunkan tanah rizab melayu yang strategik bagi meningkatkan tahap ekonomi orang melayu seperti juga di tanah-tanah yang bukan rizab melayu,” jelasnya.

Beliau berkata jumlah keluasan tanah rizab melayu di seluruh Selangor adalah sebanyak 456,754.247 ekar.

Bagi pecahan mengikut daerah, Sabak Bernam mempunyai tanah rizab melayu yang paling luas iaitu 172,823.647 ekar, diikuti daerah Kuala Langat berkeluasan 37,530.84 ekar.

Manakala daerah Hulu Langat sebanyak 33,093.86 ekar, Hulu Selangor sebanyak 31,530.84 ekar, Sepang sebanyak 22,865.06 ekar, Klang sebanyak 22,807.5 ekar, Kuala Selangor sebanyak 18,686.23 ekar, Gombak sebanyak 11,441.97 ekar dan Petaling sebanyak 2,733.09 ekar.

Dalam perasmian pembukaan Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-12 Isnin lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar tidak ada mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri bertindak memindahkan pemilikan tanah rizab Melayu di negeri ini kepada individu atau syarikat bukan Melayu.

Titah baginda, sebarang perkara atau keputusan melibatkan tanah rizab Melayu harus mematuhi peruntukan-peruntukan yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, tanah rizab Melayu perlu dipertahankan kerana ia merupakan khazanah dan amanah untuk kepentingan generasi akan datang.


Pengarang :