Selangorkini
NASIONAL

NGO Anti-Lynas Kutuk Adnan Yaakub

SHAH ALAM 7 MAC : Gabungan Hentikan Lynas (SLC) dan Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) hari ini mengeluarkan kenyataan mengutuk cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub untuk membuang sisa radioaktif Lynas di Sungai Lembing.

“Cadangan Menteri Besar itu akan menyebabkan pencemaran di sungai tersebut. Lebih-lebih lagi kawasan terbabit kini merupakan kawasan pelancongan yang semakin berkembang.

“Ribuan pelancong yang sebelum ini berkunjung ke sini pasti akan bertukar lokasi persinggahan kerana kehadiran sisa radioaktif. Bayangkanlah berapa banyak penduduk setempat bakal kehilangan sumber pendapatan,” jelas Pengerusi SMSL, Tan Bun Teet.

Lebih merunsingkan sehingga kini tiada lagi tempat untuk pembuangan sisa radioaktif diumumkan secara rasmi walhal ia merupakan salah satu daripada lima syarat yang dikenakan ke atas Lynas ketika menerima Lesen Kendalian Sementara (TOL).

“Jika lokasi tetap sisa pembuangan ditemui pun, bagaimana dengan 500 tan pemancaran dan 100,000 meter padu sisa gas yang akan dilepaskan ke sungai dan laut kita setiap jam.

“Bagaimana pula dengan nasib penduduk Balok yang tinggal hanya beberapa kilometer daripada loji Lynas? Bagaimana mereka harus hidup jika sumber mereka sudah tercemar,” ujar Pengerusi SLC, Andansura Rabu.

Selain itu, Adnan Yaakub turut mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan terhadap mana-mana ahli politik yang terlibat dalam sebarang Kempen Hentikan Lynas.

“Kami sangat terkejut dan pada masa sama lucu dengan cadangan MB. Australia memperoleh keuntungan RM55 juta hasil pengecualian cukai setiap tahun. Tapi apa yang kita dapat di Pahang ini adalah sisa toksik dan pencemaran semata.

“Datuk Seri Adnan Yaakub tidak sesuai menjadi Menteri Besar Pahang jika beliau meletakkan kepentingan perusahaan asing yang tidak membayar cukai lebih tinggi daripada kesihatan dan kebajikan rakyat negara ini,” kata Bun Teet sambil mendesak rakyat teruskan usaha mendesak kerajaan menghentikan Projek Lynas demi masa depan yang lebih bersih dan selamat.

Sementara itu Lynas semalam memaklumkan sudah mengemukakan akurjanji untuk mengantar  sisa radioaktif dari lojinya di Gebeng ke luar negara.


Pengarang :