Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Noh Takut Sesi SELCAT Sebab Tiada Bukti

SHAH ALAM, 13 MAC: Kegagalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hadir dalam sesi SELCAT untuk mengemukakan bukti wujud penyelewengan dalam isu penjualan pasir di Negeri Selangor membuktikan pemimpin Umno tersebut telah kehabisan modal untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, ketika dihubungi Selangorku hari ini.

Beliau juga berkata, tindakan Noh hanya menggambarkan bahawa pemimpin Umno dan BN hanya berani melemparkan tuduhan tanpa bukti dihadapan media arus perdana sahaja.

“Noh cuma berani bercakap depan Utusan dan TV3 sahaja tetapi bila SELCAT  panggil untuk kemuka bukti bantu kita siasat, dia tak datang.

“Adakah dia takut sebab kalau dia betul-betul ada bukti tentulah dia datang ke sessi pendengaran SELCAT untuk kemukakan bukti.

“Ini sebenarnya menunjukkan apa yang dia cakap tu hanya cakap kosong untuk memburukkan imej kerajaan negeri, bukanlah sebab ada isu pun.

“Saya yakin, Umno-BN mati akal, dah habis idea nak berhujah dengan PR sebab itulah mereka main tuduh melulu sahaja,” kata beliau.

Suee Lim turut membandingkan pemimpin PR yang bertindak berserta fakta dan mengemukakan bukti apabila membuat sebarang

tuduhan terhadap mana-mana pihak.

“Kalau pemimpin PR, apabila buat tuduhan selalunya ada sertakan bukti contohnya isu cincin (Datin Seri) Rosmah dan yang terbaru majlis pertunangan anak PM, kita tak cakap kalau tak ada bukti.

“Umno dan BN patut contohi pemimpin PR yang bercakap benar dan disertai dengan bukti,” ujarnya lagi.

Sebelum ini Noh mendakwa terdapat penyelewengan dalam isu penjualan pasir di negeri Selangor.

Noh juga selepas itu mendakwa banyak berlaku pemberian projek dibawah PR tidak melalui tender terbuka.

Noh juga sebelum ini berkata rela mendedahkan segala penyelewengan di Selangor akan didedahkan melalui mahkamah terbuka.

Bagaimanapun, Noh telah tidak hadir ke sessi SELCAT apabila diminta hadir ke sessi pendengaran SELCAT untuk mengemukakan bukti tuduhan beliau.

Sesi SELCAT adalah sesi pendengaran awam yang dibuka untuk didengar oleh sesiapa sahaja yang berminat dan ditubuhkan ketika kerajaan Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor.

SELCAT adalah Jawatankuasa Khas dibawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri Selangor bertujuan memantau dan mendedahkan pelbagai masalah berkaitan pentadbiran di Selangor.

Segala persoalan dan kemuskilan yang timbul ketika sesi SELCAT  dibawa untuk dibahas di sidang Dun akan datang.


Pengarang :