Selangorkini
SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Pandan Utama 2 Risau Dengan Syarat Baru Syabas

AMPANG  5 MAC: Penduduk Pangsapuri Pandan Utama 2 di sini risau akan bekalan air bangunan itu apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengenakan surat akuan dan aku janji kepada mereka.

Surat itu dilihat sebagai usaha menjadikan 600 penduduk ‘mangsa’ kepada pertelingkahan antara pemaju pangsapuri dan pihak Syabas.

Ia dikeluarkan pada 23 Februari lalu selepas perbincangan untuk menyambung semula bekalan air kepada bangunan itu.

Sebelum ini, penduduk bangunan itu terpaksa turun mengambil air dari tangki sementara yang disambung secara haram kepada paip Syabas kerana pemaju tidak menyiapkan tangki air yang tetap.

Apabila Syabas memotong bekalan air haram mereka, penduduk mendapatkan khidmat ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad.

Di dalam perbincangan antara Iskandar, Syabas dan Pemaju, Syabas bersetuju menyediakan meter pukal bagi menyambung bekalan air sementara dan pemaju di arah membina tangki air tetap.

Timbalan Pengerusi Penduduk, Jeffery Abdul Rahman, berkata penduduk beranggapan masalah pemotongan air itu sudah selesai tetapi secara tiba-tiba Syabas mengenakan surat akuan dan aku janji.

“Kami penduduk merasakan digunakan sebagai senjata bagi Syabas semata-mata mahu melengkapkan prosedur antara Syabas dan pemaju.

Mereka seolah-olah mahu melepaskan tangan dalam hal ini sekiranya pemaju tidak dapat menyelesaikan masalah ini,? kata Jeffery ketika ditemui Selangorkini.

Antara isi kandungan surat itu ialah Syabas berhak memotong meter pukal sementara jika pemaju gagal menyiapkan sistem bekalan air tetap. Syabas juga berhak memotong bekalan air jika pemaju tidak membayar bil air sementara.

Jeffery berkata penduduk sudah membuat keputusan tidak mahu menandatangani surat itu kerana bimbang bekalan air mereka akan terjejas jika pemaju gagal mematuhi syarat persetujuan.

“Kami juga sudah membawa masalah ini kepada Adun Chempaka, Iskandar Samad dan beliau menghantar wakil dan diatas nasihat wakilnya, kami tidak menandatangani surat itu kerana tidak perlu lagi perjanjian dengan pihak Syabas.

“Kami persatuan penduduk juga mahukan meter individu tanpa sebarang syarat dari mana-mana pihak kerana kami risau sekiranya pemaju tidak mematuhi janjinya, penduduk akan menanggung akibat apabila pemotongan air berulang kembali.

“Bagaimanapun kami menghargai sumbangan dan jasa Yb Iskandar yang bekerja keras untuk menyelesaikan masalah itu dan untuk Syabas, kami penduduk tidak boleh menerima cara dan strategi Syabas yang menuntut pembinaan tangki air itu tetapi menjadikan kami sebagai mangsa pertelingkahan mereka dan pemaju,” katanya.

Pangsapuri itu dibina semasa pentadbiran Umno-BN pada tahun 2005 dan disiapkan pada 2009. Penduduk mula menerima kunci pada tahun 2010.

Akan tetapi, pemaju berjaya mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF) untuk bangunan itu walaupun ia tidak menyiapkan tangki bekalan air untuk pangsapuri tersebut.


Pengarang :