NASIONAL

Pertambahan 316,000 Pengundi Baru Di Selangor Diragui

SHAH ALAM,27 MAC : Pertambahan jumlah pengundi baru yang amat mendadak di Selangor untuk Suku Ketiga 2011 berjumlah  316,788 berbanding daftar pemilih induk 2008 mengejutkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor seraya menyeru pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi penjelasan secara professional berkenaan perkara itu segera.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata , trend pertambahan pengundi baru di Selangor ini menyamai apa yang berlaku di Terengganu apabila pentadbiran PAS ketika itu tumbang pada pilihanraya umum 2004 lepas.

” Jawapan pertambahan pengundi ini dijawab oleh Menteri yang bertanggungjawab semasa sidang sesi Parlimen baru-baru ini, persoalan kita ialah bagaimana pertambahan pengundi baru di Selangor boleh berlaku secara drastik,” kata Dr Xavier dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Adun-Adun Pakatan Rakyat Selangor di Dewan Annex Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

” Pakatan Rakyat merasa curiga dengan cara pendaftaran pengundi ini dilakukan, saya diberitahu ada 300 buah rumah yang setiap rumah mempunyai 100 pengundi untuk setiap rumah tersebut.

Jika Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dipindahkan tempat mengundi tanpa pengetahuan beliau, boleh bayangkan bagaimana dengan orang ramai yang dipindahkan nama tanpa pengetahuan,” kata beliau.

Dr Xavier turut mendedahkan kewujudan Kad Pengenalan Hijau yang mempunyai tarikh luput yang pernah digunakan semasa pilihanraya di Sarawak.

” Kad Pengenalan ini digunakan sebagai dokumen sah yang membenarkan pemegang untuk mengundi semasa pilihanraya di Sarawak, apakah perkara ini akan juga berlaku di Semenanjung Malaysia,ini persoalan yang perlu SPR jawab,” tegas beliau.

Sementara itu Adun Meru,Dr Rani Osman menggesa semua pihak mengambil serius isu pertambahan undi secara mendadak kerana dibimbangi wujudnya kemungkinan warga  asing menentukan masa depan negara dan bukannya pengundi warganegara Malaysia.

” Kalau kita lihat negara lain,suruhanjaya pilihanraya mereka diletakkan di bawah Parlimen,itu yang Pakatan Rakyat desak,tetapi sehingga sekarang SPR masih di bawah Jabatan Perdana Menteri,” kata Dr Rani.

Dr Rani juga berkata sewajarnya SPR melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik ketika berumur 21 tahun secara menolak dakwaan wujudnya pengundi-pengundi daripada luar.

“Kita merasa sedih dengan kejadian wujudnya pengundi dari luar, kerana masa depan negara ditentukan oleh orang-orang asing,dan kita tahu bagaimana Mykad diberi kepada bukan warganegara, jadi saya harap perkara ini dipandang serius, ” katanya.

Rekod Daftar Pemilih Terkini Suku Tahun Ketiga 2011 menunjukkan pertambahan pengundi baru di Sabak Bernam ialah 5,711, Sungai Besar 6,049 , Hulu Selangor 15,481, Tanjong Karang 4,307, Kuala Selangor 10,083, Selayang 16,189, Gombak 15,467, Ampang 9,467, Pandan 13,175, Hulu Langat 23,334, Serdang 23,748, Puchong 19,772, Kelana Jaya 13,714.

Manakala di Petaling Jaya Selatan berlaku pertambahan sebanyak 4,143, Petaling Jaya Utara 5,603, Subang 27,765, Shah Alam 15,417, Kapar 21,606, Klang 11,702, Kota Raja 22,256, Kuala Langat 17,172 dan di Sepang 14,627.


Pengarang :