Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

PKR: Tawaran Debat Anwar-Najib Masih Terbuka

PETALING JAYA, 6 MAC: PKR sekali lagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan debat terbuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagimana dinyatakan didalam blog perdana menteri itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya kepada pihak media berkata tawaran untuk berdebat tersebut sentiasa terbuka.

“PKR mengambil maklum kesanggupan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dalam kerangka wacana demokrasi sebagaimana dinyatakan di dalam blognya.

“Justeru, kita berharap kesanggupan Najib ini benar-benar jujur kerana tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pada Januari 2011 untuk berdebat tentang kedudukan ekonomi, fakta-fakta yang terkandung di dalam Buku Jingga dan penyelewengan negara masih lagi terbuka.” jelas Saifuddin yang juga MP Machang.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang jawapan daripada Perdana Menteri tentang tawaran tersebut.

Katanya, Najib perlu menerima tawaran debat ini sesuai dengan semangat demokrasi yang diluahkannya, melainkanlah Najib tidak merasakan isu ekonomi, tawaran dasar Buku Jingga, tatakelola kerajaan yang baik, kenaikan kenaikan kos hidup dan penyelewengan negara merupakan isu-isu penting untuk dibahaskan.

Menurut Saifuddin, Najib turut meluahkan kebimbangannya tentang keupayaan lawannya di dalam perdebatan untuk bercakap

berdasarkan fakta dan mengawal emosi.

“Sebenarnya kebimbangan ini tidak patut wujud sekiranya beliau yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan yang tepat.

“Keputusan di tangan Najib sama ada beliau jujur mahu membolehkan rakyat Malaysia mendengar secara langsung dasar-dasar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat didebatkan dalam kerangka demokrasi dan membuat keputusan yang sewajarnya.” kata Saifuddin.


Pengarang :