Selangorkini
NASIONAL

PRU 13 Awal Tahun Depan?

KOMENTAR,8 MAC: Ramai menyangka Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) semakin hampir. Maksud ‘semakin hampir’ tersebut disebabkan ramai bertanggapan kegelojohan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menjelajah ke seluruh negera sejak kebelakangan ini.

Inilah yang dilakukan oleh para Perdana Menteri sebelum ini di saat menjelang PRU. Mungkin betul juga tanggapan tersebut, namun ramai yang tersilap kerana tidak melihat kronologi dan nasib Umno dahulu dan sekarang.

Tindakan para Perdana Menteri sebelum Najib ketika Umno-BN sedang berada dalam posisi gah, sehinggakan calon yang bertanding atas tiket Umno itu terdiri dari tunggul kayu atau kura-kura pun boleh menang.

Ketika itu rakyat melihat parti sebagai pilihan bukannya calon sebagimana dilihat rakyat sekarang. Sekarang parti yang didakwa membela nasib orang melayu tersebut sudah hilang auranya dimata orang melayu.

Selepas era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, orang melayu telah berpecah kepada tiga puak iaitu Umno, PAS dan PKR.

Penolakan orang melayu terhadap Umno amat dirasai ketika PRU ke 10 pada 1999 ekoran pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRU-10 yang jatuh pada 29 November 1999 itu menyaksikan 42 kerusi parlimen dimenangi pembangkang dengan kemenangan PAS (27), DAP (5) dan Keadilan (10)                                                                                                                                                       

Manakala PRU-12 pada 2008 pula meletakkan Umno-BN gagal menguasai dua pertiga kerusi parlimen disamping hilang lima negeri ditangan Pakatan Rakyat (PR).

Dalam kata lainnya, Umno sedang meniti zaman usang dan orang-orang melayu pula sudah hilang keyakinan terhadap hala tuju parti tersebut.

Dikalangan jentera dalaman Umno juga turut berpecah. Pemuda Umno membentuk dua kem. Satunya berpihak kepada Khairy Jamaluddin dan satu lagi di pihak Mukhriz Mahathir.

Wanita Umno pula terperangkap dengan krisis kredibiliti kepimpinan setelah ketuanya Shahrizat Jalil terpalit dengan projek NFC yang dikaitkan dengan suami beliau.

Desas desus dari kakitangan ‘Tingkat Lima’ pula turut memperkatakan tentang hubungan Najib-Muhyiddin yang hanya mesra kepada media atau berhadapan dengan ahli Umno tetapi dingin ketika bersemuka.

Manakala dikalangan media pula telah wujud kem Najib dan Muhyiddin. Begitu juga dikalangan bahagian-bahagian Umno seluruh negara.

 

Jelajah Najib untuk tenangkan keadaan

Tindakan Najib menjelajah ke seluruh negara dengan membawa pelbagai ole-ole dan suapan politik kepada rakyat bukan memberi petunjuk jelas bahawa pilihanraya semakin hampir.                                                                                                                                            

Namun ia sekadar untuk melihat sambutan Umno terhadap beliau serta kepimpinannya. Umno sendiri tidak mengadakan pemilihan sejak tiga tahun berturut-turut dalam perhimpunan Agong Umno bermula 2009 lalu.

Kepimpinan di cawangan dan bahagian yang ada sekarang dianggap sudah tidak relevan dengan inspirasi Najib menerusi retorik tranformasinya.

Begitu juga  di lima negeri yang jatuh ke tangan PR, Umno dinegeri tersebut tidak dapat mengadakan mesyuarat secara formal kerana ketiadaan pemimpin berkalibar.

Umno negeri pula hanya mengharapkan kedatangan pemimpin-pemimpin tertinggi pusat untuk bermesyuarat atau bertemu secara dua hala di negeri-negeri terbabit.

Kesimpulannya hubungan Najib dengan pemimpin-pemimpin Umno bahagian, cawangan dan negeri agak renggang.

Justeru sebelum diadakan sebarang usaha untuk melaksanakan pilihanraya Najib perlu memastikan sokongan terhadap beliau dan kepimpinannya berjaya menambat hati ahli-ahli Umno.

Sebelum melawat negeri-negeri tersebut, Najib telah menyalurkan sejumlah besar wang dari dana rakyat untuk negeri-negeri PR kepada Umno.

Umno Selangor memperoleh dana paling besar iaitu RM2.71 bilion. Dana dari wang rakyat ini diberikan sebegitu besar berikutan Najib juga merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Perak pula telah menerima RM55.7 juta manakala Umno Pulau Pinang juga memperoleh RM64 uta.

Pemberian-pemberian ini dianggap tindakan paling terdesak Najib kerana wang dari pembayar-pembayar cukai dari titik peluh rakyat negara ini diberikan untuk kepentingan pemimpin-pemimpin Umno.

Najib sudah hilang pertimbangan rasionalnya sehingga tidak dapat membezakan antara wang rakyat dengan wang milik Umno.

Apa pun inilah budaya Umno selama ini yang menganggap harta dan khazanah negara adalah hak milik Umno.

 

Pemilihan Cawangan/Bahagian Umno

Berdasarkan maklumat dalaman, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor dijangka mengedarkan pekeliling kepada semua cawangan, bahagian dan negeri diseluruh negara menjelang hujung bulan ini.

Sumber dari Putrajaya tersebut berkata pekeliling tersebut diedarkan bagi membolehkan semua cawangan Umno di seluruh negara mengadakan pemilihan pada April dan Mei ini.

Manakala pemilihan di peringkat bahagian akan dilaksanakan Jun dan berakhir Julai sebelum tiba ramadan.

Menurut sumber tersebut Persidangan Agong Umno 2012 belum lagi diputuskan samaada akan dilaksanakan atau tidak pada November dan Disember ini sebagaimana biasa.

Berdasarkan penghujung Ogos jatuh pada Hari Raya Puasa, berkemungkinan besar Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung pada November ini.

Memandangkan tempoh PRU-13 akan tamat pada 7 Mac 2013, Najib mempunyai banyak masa. Tidak mustahil PRU-13 tidak akan dilakukan pada tahun ini.

Memang kebiasaan setiap kali diadakan pemilihan, Umno akan bergolak disemua peringkat terutamanya sayap pemuda dan pusat.

Kali ini sayap wanita akan bergolak lebih hebat berikutan Ketuanya, Shahrizat Jalil di kaitkan dengan salahguna wang rakyat oleh suami beliau berjumlah RM250 juta.

Pergolakan kali ini juga menjadi lebih hebat berbanding pemilihan sebelumnya kerana akan dikaitkan sebagai calon yang akan dipilih bertanding dalam PRU-13.

Sekiranya Perhimpunan Agung Umno diadakan penghujung tahun ini dan pemilihan kepimpinan baru di pilih, Najib memerlukan sekurang-kurang tiga bulan untuk menjernihkan keadaan.

 

Calon ‘winable’

Ketika Najib mengadakan lawatan ke seluruh negara baru-baru ini, isu ‘winable candidate’ (calon boleh menang) dijadikan bahan utama dalam setiap ucapannya.

Bagi memastikan calon boleh menang tersebut, Najib perlu mengadakan satu mekanisma dan kaedah saringan yang ketat.

Najib juga tidak mahu mengulangi kesilapan Tun Abdullah yang memilih calon berdasarkan nasihat dari tingkat empat atau cadangan dari peringkat negeri dan bahagian-bahagian Umno.

Saringan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian Umno boleh dijadikan asas bagi Najib memastikan senarai baru calon boleh menang yang diinginkan beliau.

Kaedah ini dianggap lebih selamat jika dibandingkan dengan calon yang dikemukakan oleh bahagian-bahagian Umno yang di amalkan sebelum ini.

Cuma persoalan yang mungkin menimbulkan kebimbangan Najib adalah berhubung penguasaan team Muhyiddin yang akan memenangi dan menguasai kerusi-kerusi bahagian.

 

PRU-13 Tahun Depan?

Sekiranya tindakan Najib mengheret PRU-13 ke tahun hadapan dan mengharapkan usaha tersebut akan meletihkan PR kerana menunggu terlalu lama, beliau melakukan kesilapan yang amat besar.

Strategi PR meletakkan Jun depan sebagai tarikh PRU-13 menunjukkan gabungan PKR,PAS dan DAP tersebut berada dalam keadaan siap siaga merangka pelbagai strategi.

Ini disebabkan ruang yang luas tersebut membuka peluang yang lebih lama kepada PR menyampaikan sumber maklumat kepada rakyat.

Apatah lagi pelbagai skandal penyelewengan dan kelemahan Umno dan kerajaan sejak 54 tahun menguasai negara dibongkar satu demi satu.

Begitu juga dengan keadaan ekonomi negara dan dunia semakin menguncup memberikan ‘back fire’ kepada Umno dan kepimpinan Najib.

Kesan akan lebih terasa apabila kerajaan tidak lagi dapat membendung kenaikan harga barang, kenaikan kadar tol dan kenaikan tarif letrik tidak memihak kelebihan kepada Umno-BN.

Walaupun Najib boleh menjaja pemberian sogokan wang yang diberikan kepada rakyat dan Umno sekarang sebagai ‘budi’ yang menunjukkan keperihatinan pimpinannya.

Namun setakat ini budi yang diharap Najib bertukar kepada sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau masih diperingkat retorik dan propoganda media milik Umno/BN.

Realitinya masih belum pasti. Kepastiannya hanya boleh diyakini selepas pihak polis Bukit Aman memberikan maklumat terperinci berhubung sokongan rakyat hasil dari sogokan tersebut.

Kalau pun Najib tetap tega untuk melaksanakan PRU-13 tahun depan kaedah sogokan politik sebagaimana dilakukan sekarang masih mampu dilakukan.

Ini disebabkan Bajet 2013 yang biasanya diumumkan pada penghujung tahun boleh sekali lagi digunakan Najib membeli sogokkan rakyat.

Bayangkan sekiranya Najib mengumumkan peruntukan Bajet 2013 berjumlah RM232.83 bilion sebagaimana Bajet 2012 lalu dan PRU-13 akan diadakan pada March tahun depan?.

Maka kesemua RM232.83 bilion tersebut boleh digunakan untuk tujuan kemenangan dan kepentingan Umno-BN. Umno-BN Selangor pernah melakukan kerja terkutuk ini pada bajet Selangor 2008 lalu.

Selepas tamat PRU-12 pada March 2008, kerajaan PR pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dapat mengesan ke mana kesemua wang bajet tersebut dibelanjakan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Apa pun Najib perlu pastikan BN wajib menang walaupun timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PRU-13 kali ini merupakan detik paling getir buat Umno-BN.

Najib juga perlu pastikan kuasa Umno sebagai tunggak BN dikekalkan. Andai ini tidak dapat dibuktikan, Najib dan seluruh pimpinan Umno-BN sebahagian besarnya akan berhadapan dengan kerajaan baru PR.

Sedang barisan pimpinan PR telah menyenaraikan pelbagai penyelewengan, pengkhianatan, rasuah, salahguna kuasa dan pelbagai amalan tidak bermoral sejak 54 tahun Umno-BN memerintah negara.

Detik itu akan tiba jua akhirnya. Justeru Najib punya masa yang secukupnya untuk menilai dan membuat keputusan yang bakal menentukan hidup mati Umno/BN dari pesada politik negara.


Pengarang :