NASIONAL SELANGOR

Selangor Cemerlang Beri Keyakinan Sokongan

SHAH ALAM 23 MAC : Kemenangan rakyat Selangor hasil kesatuan hati dan iltizam untuk bangkit menolak pentadbiran Umno-BN pada Pilihanraya lalu, sewajarnya dilanjutkan demi kesejahteraan rakyat yang berpanjangan.

ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali berkata kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil muafakat dan kesedaran rakyat untuk berubah.

Keyakinan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Tokoh Veteran Umno, Tun Daim Zainuddin dalam wawancara bersama media baru-baru ini sebagai berkata adalah amat sukar untuk Umno merampas kembali Selangor.

Daim juga mengakui penerimaan rakyat terlalu hebat terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat yang tampil dengan imej sebuah Kerajaan yang berintegriti.

“Ini jelas menjadi kegusaran Umno yang tidak dapat menandingi keupayaan pentadbiran hari ini biarpun baru berusia empat tahun. Terbukti sekiranya Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dapat ditadbir dengan baik oleh Pakatan Rakyat nescaya kesejahteraan akan lebih dikecapi oleh rakyat apabila kita sampai ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13.

“Amalan rasuah, kronisme, penyelewengan dan salahguna kuasa adalah malapetaka yang harus ditentang habis-habisan demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri ini,”jelas Azmin dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DNS) hari ini.

Badan penyelidikan profesional, Merdeka Centre dalam laporan kaji selidiknya turut mendapati fenomena penerimaan rakyat terhadap kepimpinan hari ini.

Hasil kaji selidik tersebut mendapati sebanyak 60 peratus rakyat Negeri Selangor menyatakan bahawa pentadbiran pada hari ini berada pada landasan yang tepat. Sementara 64 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Pakatan Rakyat hari ini.

Malah, sokongan masyarakat Melayu terus meningkat sehingga 59% sementara sokongan bagi masyarakat Cina dan India adalah sebanyak 69 peratus.


Pengarang :